SPR perlu pastikan mekanisme mudahkan pengundi, ketelusan  ke atas pengundi awal, pos

SPR perlu pastikan mekanisme mudahkan pengundi, ketelusan ke atas pengundi awal, pos

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan tujuan sebenar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pada 9 Mei 2018 sebagai hari mengundi dan sejauh mana suruhanjaya itu dapat memastikan ketelusan dan integriti terhadap pengundian awal dan pengundi pos.

“Sedangkan persiapan untuk pengundi luar kawasan pulang mengundi memerlukan masa yang lebih awal apatah lagi mereka yang berada di luar negara.

“Saya juga kesal SPR gagal mempertimbangkan permintaan supaya tempoh berkempen pilihan raya diperuntukkan tidak kurang daripada 21 hari,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata, dengan pengumuman SPR hari ini jelas menunjukkan suruhanjaya itu tidak peka kepada pertambahan pemilih.

“Seramai 1,672,222 orang. Purata pemilih per parlimen kini berjumlah 67,300 orang berbanding dengan purata 59,766 pemilih bagi PRU-13.

“Berikutan dengan penambahan ini, adalah jelas masa yang lebih diperlukan bagi mendekati pengundi,” ujarnya.

Beliau juga mendesak SPR untuk mengumumkan bilangan sebenar pengundi pos mengikut pecahan pemilih pos di luar negeri mengikut negara;pemilih pos yang penjawat awam menurut kategori 11 jabatan yang diwartakan dan;pemilih yang terdiri daripada petugas-petugas media.

Selain itu Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga menuntut SPR menjelaskan mekanisme yang menjamin sejauh mana proses pengundian pos tidak terdedah kepada penipuan dan manipulasi, khasnya mekanisme yang mampu memantau sampul undi pos benar-benar diterima oleh pengundi pos yang berkenaan dan dipangkah olehnya.

“Saya menggesa supaya SPR mewujudkan mekanisme aduan bagi membolehkan mana-mana pengundi pos bagi membuat aduan jika mereka tidak menerima sampul undi pos mereka.

“Saya menegaskan adalah menjadi tugas dan tanggungjawab SPR untuk menjalankan pilihan raya secara adil, bebas dan penuh integriti,” ujarnya.

Hari ini Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan hari penamaan calon 28 April, hari mengundi awal pada 5 Mei 2018 dan hari pengundian pada 9 Mei 2018.

Seramai 14,636,716 orang dalah pemilih biasa diikuti pemilih awal (300,255 orang) dan Pengundi Tidak Hadir Luar Negara (3,653 orang).

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES