Malaysia Dateline

SPR perlu perjelas kewajaran BN Selangor kemukakan bantahan syor kedua persempadanan

Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  memperjelaskan kewajaran  dan keperluan Barisan Nasional (BN) Selangor untuk membuat bantahan ke atas syor kedua Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya PH Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar berkata, apakah kewajaran BN Selangor berbuat demikian sedangkan sebelum itu Umno-BN tidak pernah menghantar sebarang bantahan syor pertama  persempadanan kawasan pilihan raya oleh SPR.

“Kita tidak faham mengapa Umno-BN mahu buat bantahan dalam syor kedua? Sedangkan mereka parti yang kuat dalam negeri Selangor walaupun sebelum ini tidak pernah buat bantahan kerana yakin mereka akan menang.

“Ini menunjukkan Umno-BN berada dalam keadaan panik sebab itu mereka akan buat bantahan terhadap sempadanan kawasan dalam syor kedua yang dipamerkan SPR sehingga 14 Februari depan.

“Sedangkan Umno tidak pernah membuat sebarang  bantahan bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun)  di Selangor ini dalam syor pertama yang dikemukakan SPR pada tahun lalu,” ujarnya dalam sidang media yang diadakan di Ibupejabat Pilihanraya PKR Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Perhubungan BN Selangor Tan Sri Noh Omar pada 13 Januari lalu, yang berkata, BN Selangor membantah cadangan kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dun di negeri ini.

Pada 27 Disember lalu, Adun Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan, tampil untuk membantah cadangan SPR untuk memindahkan pengundi di kem tentera Sungai Besi dari kawasannya ke kerusi Paya Jaras, yang kedua-duanya terletak di bawah kawasan Parlimen Subang.

Kata Dr Xavier lagi, parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan sebelum ini telah membuat bantahan terhadap syor pertama oleh SPR membabitkan 22 Parlimen dan 55 Dun di Selangor.

PH telah mengemukakan sebanyak 115 bantahan kepada syor pertama dengan mengikuti proses yang ditetapkan SPR dalam tempoh 8 hari setelah syor persempadanan pertama dipamerkan.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR itu, mempersoalkan sama ada SPR menerima bantahan dibuat Umno-BN itu dalam syor kedua sedangkan tidak mengikuti prosedur ditetap SPR dalam syor pertama persempadanan itu yang dipamerkan tahun lalu bagi mana-mana parti yang mahu membuat bantahan terhadap syor dikemukakan SPR.

“Bagaimanapun setahu saya, hanya satu bahagian Umno sahaja buat bantahan dari Parlimen Kota Damansara. Selain daripada itu tiada mana-mana bahagian Umno-BN buat bantahan.

“Sekiranya mana-mana parti tidak membuat sebarang bantahan terhadap syor pertama oleh SPR, itu menandakan parti tersebut bersetuju dengan syor pertama dipamerkan SPR.

“Sekarang SPR sudahpun buat pameran baharu bagi syor kedua atas sempadanan itu, adakah membolehkan mana-mana parti mengemukakan bantahan tersebut sedangkan parti itu tidak membuat bantahan pada kali pertama syor persempadanan itu dipamerkan oleh SPR?,” soalnya kepada SPR sebagaimana sedang dilakukan Umno-BN di Selangor kini.

Syor kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR dipamerkan sehingga 14 Februari depan.