Malaysia Dateline

SPR rekodkan 37 laporan salah laku sepanjang kempen

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah merekodkan sebanyak 37 lapon salah laku sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sehingga hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 29 laporan pelbagai salah laku itu dilaporkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) manakala 8 lagi  melibatkan salah laku rasuah.

“Setakat hari ini kami telah menerima lapan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) lapan dan 29 laporan polis.

“Ini termasuk laporan mengenai penggunaan kenderaan kerajaan, laporan pembelian undi (rasuah) melibatkan lima laporan dibuat serata laporan mengenai poster yang mempunyai perkara agak sensitif,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata hari ini.

Sebelum ini, SPR menerima laporan mengenai petugas dan jentera Pakatan Harapan (PH) mengagihkan wang kepada beberapa individu dipercayai Orang Asli selepas proses penamaan calon  pada 12 Januari lalu.

Selain itu, seorang Timbalan Menteri PH juga didakwa menyalahgunakan kenderaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk tujuan kempen PRK Cameron Highlands di Sungai Koyan, minggu lalu.

Tindakan itu telah dilaporkan oleh calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor di Balai Polis Sungai Koyan mengenai insiden tersebut dan mendakwa timbalan menteri DAP itu telah menghalangnya ketika berkempen di lokasi sama.