Malaysia Dateline

SPR sambut baik Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya yang diluluskan Dewan Rakyat pada 17 Oktober lalu.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, jawatankuasa tersebut akan berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap cabang eksekutif negara.

“SPR ingin menegaskan bahawa sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini adalah telus dan adil.

“SPR juga akan memberi kerjasama penuh kepada jawatankuasa tersebut untuk memudah cara, menambah baik proses pilihan raya sedia ada agar lebih cekap dan memberikan keyakinan kepada seluruh rakyat negara ini terhadap sistem demokrasi yang diamalkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama juga katanya, SPR akan mengulangi komitmennya untuk mengkaji dan meneliti proses penjalanan pilihan raya serta memberikan cadangan-cadangan penambahbaikan yang difikirkan sesuai selaras dengan hasrat rakyat dan negara.

Terdahulu, selain Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya, Dewan Rakyat turut meluluskan tiga lagi Jawatankuasa Pilihan Khas dalam pembentangan Dewan Rakyat minggu lalu.

Antaranya, Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa serta Jawatankuasa Pilihan Khas Sains, Inovasi dan Alam Sekitar.

Jawatankuasa ini bertujuan memudah cara, menambah baik dasar kerajaan supaya menjadi lebih cekap dan pada akhirnya memberikan pengesahan kepada tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas inu juga berkuasa memanggil orang hadir di hadapannya untuk mengambil keterangan, fikiran dan pandangan mengenai apa-apa yang berkaitan dengan bidang tugas yang dinyatakan dalam terma rujukan jawatankuasa berkenaan.

Ia juga tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.