Malaysia Dateline

SPR sambut baik syarat baharu mohon tukar butiran alamat kad pengenalan

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyifatkan syarat baharu yang diperlukan untuk memohon pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan sebagai tindakan wajar bagi memastikan kesahihan maklumat pendaftar.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata surat sokongan akan membantu SPR memastikan alamat pendaftar yang digunakan mereka merupakan alamat yang benar.

“Syarat ini akan membantu banteras tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mendaftar pemohon di alamat palsu.

“Ia juga dapat menghalang pihak yang ingin memindahkan pengundi ke mana-mana kawasan dengan menggunakan alamat kediaman pihak ketiga,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian yang menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis bin Haji Jamman yang ingin mengelakkan masalah maklumat tidak sahih dalam kad pengenalam.

Terdahulu, Mohd Azis berkata, bermula 2 Mei, semua permohonan pertukaran butiran alamat pada kad pengenalan perlu disertakan dokumen sokongan seperti bil eletrik, bil pembentungan, bil utiliti, cukai pintu, perjanjian jual beli rumah, perjanjian atau resit sewa rumah atau lain-lain dokumen bagi membuktikan pemohon telah menetap di alamat baharu tersebut.

Azhar dalam kenyataannya berkata, langkah tersebut secara langsung dapat membantu SPR mewujudkan daftar pemilih yang lebih tepat, berintegriti dan diyakini khususnya dalam isu kesahihan alamat yang digunakan sebagai alamat maustatin.

“Kami menyambut baik dan berterima kasih kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai langkah yang diambil,” katanya.