SPR saran bakal calon PRN Sarawak semak awal borang penamaan

Oleh NASUHA RAHMAN

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyarankan supaya bakal-bakal calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak membuat semakan awal pengisian borang penamaan masing-masing.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, semakan awal itu hendaklah dibuat di Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Katanya, ia adalah bagi memudahkan proses penamaan calon dan bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

“Adalah diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran. Ini adalah bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Ikmalrudin hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon (PPC) pada hari berkenaan, dan penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan hadir ke PPC.

“Kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari 9. 00 hingga 10. 00 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 82 PPC yang ditetapkan pada hari penamaan calon Isnin ini (6 Disember ).

“Malah, kertas penamaan calon juga boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong; atau mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka,” ujar beliau.

Katanya, bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.

“Bagaimanapun aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

“Justeru saya menyeru semua calon dan parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan yang dikeluarkan SPR, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon, ” katanya.

SPR telah menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember ini.