SPR seharusnya hormati keputusan legislatif, kata AMK Pulau Pinang

Oleh Syazwani Malaysiadateline

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sepatutnya menghormati keputusan yang dibuat oleh kuasa legislatif melalui Parlimen dalam isu undi 18 tahun.

Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fahmi Zainol berkata, sekiranya keputusan majoriti dalam Parlimen sendiri tidak dipatuhi dan cuba dinafikan, maka tiada lagi keperluan untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Menurut beliau, SPR sewajarnya melaksanakan undi 18 tahun dengan kadar segera di mana usul berkenaan sudah pun mendapat majoriti dua per tiga sokongan dalam Parlimen ketika dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH).

“SPR dinasihatkan supaya tidak menjadi alat atau diperalatkan oleh mana-mana pihak dalam isu undi 18.

“(Agensi itu) perlu adil dan bebas dalam melaksanakan tugas tanpa menafikan hak golongan yang berusia 18 tahun seperti mana yang telah pun diputuskan oleh Parlimen.

“AMK menuntut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican supaya lebih peka membela suara golongan muda dan tidak setakat menjadi pak angguk menurut telunjuk Bersatu tanpa membela nasib golongan ini khususnya dalam isu undi 18,” tegasnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Pada masa sama, Fahmi yang juga merupakan Ketua AMK Pulau Pinang itu berkata, Reezal sepatutnya lebih risau dan bimbang kerana majoriti pengundi muda yang layak mengundi ketika ini adalah anak muda Melayu yang seharusnya dibela dengan memberikan peluang seluas-luasnya menjelang pilihan raya umum akan datang.