Malaysia Dateline

SPR siap sedia hadapi PRN12 Sarawak

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan Pilihan Raya Negeri (Sarawak) Ke-12 yang bakal diadakan dalam waktu terdekat ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Shahrom, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang notifikasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

“Kita belum lagi menerima sebarang notifikasi berhubung Pilihan Raya Negeri Sarawak (ke-12).

“Sekiranya Dewan Undangan Negeri (Sarawak) dibubarkan, tugas SPR ialah mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran (DUN) berdasarkan Fasal (1) Perkara 21 Perlembangaan Negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, di bawah Fasal (1) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, ”Apabila Dewan Undangan Negeri dibubarkan, pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu enam puluh hari (60) dari tarikh pembubaran dan Dewan Undangan Negeri yang baharu akan dipanggil bersidang pada satu tarikh tidak lebih dari seratus dua puluh (120) hari dari tarikh berkenaan’.

Sebagai rekod, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan selepas PRN ke-11 diadakan pada 7 Mei 2016.

Namun, terdapat khabar angin mengatakan bahawa PRN ke-12 mungkin diadakan pada hujung tahun ini dengan mengambil kira pelbagai aspek antaranya kemerosotan ekonomi serta kemungkinan kehilangan pekerjaan yang akan memberi impak kepada rakyat.

Dr Azmin menambah, di Sarawak jumlah pengundi berdaftar sehingga 31 Mac 2020 ialah seramai 1,246,001 dengan 7,310 merupakan pendaftaran baharu.

“Jumlah pengundi berdaftar itu merupakan Daftar Pemilih Suku Tahun Pertama 2020 yang diwartakan pada 1 Julai 2020.

“Setakat 31 Mac 2020, 1,246,001 pengundi berdaftar di negeri ini ialah seramai 7,310 iaitu pendaftaran baharu yang diterima SPR bagi suku pertama tahun ini,” tambah beliau.

Beliau menegaskan, pendaftaran baharu tersebut tidak termasuk pengundi yang berusia 18 hingga 20 tahun.

“Pelaksanaan Pendaftaran Automatik Pengundi (AVR) hanya akan dilakukan selewat-lewatnya Julai tahun depan.

“Ini kerana, AVR melibatkan persiapan meminda Peraturan Pilihan Raya (Pendaftar Pemilih) 2002 dan undang-undang berkaitan yang lain, peruntukan prosedur pengendalian standard (SOP) dan peruntukan sistem infrastruktur bagi pelaksanaan pengundi berumur 18 tahun dan pendaftaran automatik.

“Dengan itu, rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke bawah tidak layak mengundi sebelum Julai 2021,” ujar Dr Azmin.