Malaysia Dateline

SPR tegas hentikan aktiviti kempen

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun memberi peringatan kepada semua parti politik supaya menghentikan aktiviti berkempen dengan serta-merta.

Beliau memberitahu, pihaknya telah menerima beberapa aduan berhubung salah laku tersebut yang terjadi berdekatan pusat-pusat mengundi di Dun Semenyih.

“Barung dan pondok panas sebenarnya tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954.

“Saya sudah tekankan perkara ini banyak kali. Kami menerima banyak laporan mengenai barong panas ini di mana kemudahan itu disalahgunakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rinching hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pondok rehat dibenarkan untuk diletak di luar pusat mengundi, asalkan tiada aktiviti kempen dijalankan di situ.

“Kalau nak buka pondok rehat tanpa ada apa-apa aktiviti meraih undi, itu dibenarkan,” jelasnya.

Mengulas isu penyokong parti politik memakai pakaian yang mempunyai logo atau bendera parti di luar pusat mengundi, Azhar berkata hal itu tidak salah di sisi undang-undang.

“Kita tak boleh nak larang orang pakai baju ada logo atau bendera parti kerana kita tidak ada kuasa tentang perkara ini,” jelasnya.

Azhar berkata demikian ekoran dakwaan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bahawa Pakatan Harapan (PH) dan BN masih berkempen secara terbuka di luar pusat-pusat mengundi.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan melahirkan kekecewaan dengan situasi itu dan berkata satu laporan telah dikemukakan kepada SPR beserta gambar sebagai bukti.

Azhar turut memberi amaran tegas dan menekankan menjadi satu kesalahan apabila calon berkempen di dalam kawasan pusat mengundi apabila ditanya mengenai dakwaan calon PH Muhammad Aiman Zainali yang dikatakan berbuat demikian.

Beliau juga mengingatkan media supaya tidak bertanya soalan berkaitan kempen kepada calon pada hari pengundian.

“Media pun janganlah tanya soalan begitu. Kalau anda tanya soalan begitu pasti dia (calon) jawab.

“Kalau dia jawab undilah saya, ini memang tidak dibenarkan kerana waktu berkempen sudah tamat.

“Kalau boleh saya minta pihak media jangan tanya soalan siapa patut diundi (kepada calon) kerana mengikut undang-undang, ia dikira sebagai membantu membuat kesalahan,” tegas Azhar lagi.

Untuk rekod, tempoh berkempen selama 14 hari manakala kos bagi menjalankan PRK N. 24 ini mencecah RM1.8 juta.

PRK Dun Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dengan kesemuanya PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di Dun Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong dengan kesemuanya dimenangi PH.