Malaysia Dateline

SPR Thailand siarkan keputusan pilihan raya, tolak satu kawasan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand hari ini mengesahkan keputusan Pilihan Raya Umum 24 Mac lepas dengan Parti Pheu Thai, parti yang ada hubungan dengan perdana menteri Thaksin Shinawatra yang digulingkan mendahului kedudukan dengan meraih 137 kerusi.

Parti pro-tentera Palang Pracharat yang menyokong Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha di tempat kedua dengan 97 kerusi, Bhumjaithai (39), Democrat (33), Future Forward Party (30).

Suruhanjaya itu mengesahkan keputusan 349 daripada 350 kerusi kawasan, hampir tujuh minggu selepas PRU itu diadakan.

Pada sidang akhbar di sini, Timbalan Setiausaha Agung SPR Sawaeng Boonmee berkata satu pilihan raya kecil akan diadakan di kawasan Chiang Mai berikutan “kad kuning” dikeluarkan kepada seorang calon Pheu Thai atas kesalahan rasuah.

Senarai penuh anggota parlimen dijangka diumumkan menjelang 9 Mei.

Sementara itu, Prayuth mengesahkan 15 anggota kabinet meletak jawatan hari ini.

Mereka termasuk Ketua Marsyal Udara Prajin Juntong, Timbalan Perdana Menteri Jen Chatchai Sarikulya, Menteri di Pejabat PM Suwaphan Tanyuvardhana, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Jen Surasak Karnjanarat, dan Menteri Buruh Jen Polis Adul Saengsingkaew.

Ini mencetuskan spekulasi bahawa mereka akan dilantik sebagai anggota senat.- BERNAMA