SPR tidak berfungsi di sisi Perlembagaan jika komposisi hanya seorang pengerusi, kata Annuar

SPR tidak berfungsi di sisi Perlembagaan jika komposisi hanya seorang pengerusi, kata Annuar

Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan kewujudan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana badan tersebut hanya dianggotai oleh seorang pengerusi iaitu Azhar Azizan Harun.

Annuar berkata menurut perlembagaan, SPR tidak boleh wujud jika hanya mempunyai komposisi yang terdiri daripada seorang pengerusi sahaja.

“Seperti mana di bawah Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain.

“Perkataan ‘hendaklah’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan bahawa ia adalah keperluan mandatori.

“Justeru, segala tindakan yang dibuat di bawah nama SPR pada ketika ini adalah tidak berperlembagaan dan dikira terbatal,” kata Annuar dalam sidang media di Tanah Rata pada Jumaat seprti dilapor Astroawani.

Disebabkan kekosongan jawatan akibat peletakan jawatan oleh Timbalan Pengerusi dan lima orang ahli lain pada 31 Disember lalu, Annuar menyifatkan SPR dianggap tidak beroperasi atau tidak wujud di sisi perlembagaan.

“Saya difahamkan SPR akan bermesyuarat hari ini (Jumaat) untuk mengeluarkan Writ Pilihan Raya selepas kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih.

“Tetapi dengan ketidakwujudan SPR, maka writ pilihan raya tersebut tidak harus dan tidak dapat dikeluarkan,” tambahnya.

Beliau merujuk kepada kekosongan kerusi Dun Semenyih susulan penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada pukul 4.45 pagi pada 11 Januari akibat serangan jantung.