SPR tidak dapat bertindak hanya kerana gambar

SPR tidak dapat bertindak hanya kerana gambar

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya tidak dapat bertindak berdasarkan hanya melihat gambar yang tular di laman sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana pihak yang mempunyai bukti berhubung sebarang kes salah guna kuasa atau rasuah sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands untuk tampil melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Orang yang mempunyai maklumat langsung (direct evidence) patut melaporkan, kalau saya buat laporan, apa jenis kenyataan yang saya boleh beri pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Semua hearsay (khabar angin). Soalan: awak nampak benda itu berlaku ? Jawap: tidak, saya nampak gambar kat Twitter, bagaimana?,” soal beliau menerusi Twitter hari ini.

Azhar berkata demikian menjawab komen seorang pengguna media sosial itu yang dipercayai merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial memaparkan seorang wanita yang memakai baju Pakatan Harapan (PH) memberikan wang kepada beberapa belia Orang Asli.

Terdahulu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet memberitahu, pemberian wang oleh wanita terbabit adalah bayaran untuk kos minyak petrol sukarelawan parti itu.

Menurut Arvind lagi, hal tersebut bermakna pemberian wang itu mengikut lunas undang-undang.