SPR tolak Suhakam jadi pemerhati PRU 14

Permohonan Suhakam untuk menjadi pemerhati PRU 14 ditolak oleh SPR, kata pengerusinya Razali Ismail.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memaklumkan permohonan mereka untuk menjadi pemerhati pilihan raya kali ini ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini bermakna, Suhakam tidak dibenarkan memasuki kawasan pembuangan undi semasa pilihan raya ini,” kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataannya.

Ekoran itu, katanya, Suhakam tidak berpuashati dengan keputusan ini terutama ketika diberitahu bahawa akan ada pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya ini.

“Pilihan raya bebas dan adil adalah pilar utama kepada hak asasi manusia, dan Suhakam mendesak SPR agar memberikan pengiktirafan dan menerima asas utama kepada hak asasi manusia berkaitan dengan intergriti,” kata Razali.

Pada 10 April lalu, SPR mengumumkan akan mengundang pemerhati pilihan raya antarabangsa bagi meninjau ketelusan proses pilihan raya umum (PRU) ke-14 melibatkan sekurang-kurangnya tujuh negara – Indonesia, Thailand, Maladewa, Timor Leste, Kemboja, Kyrgyzstan dan Azerbaijan.

SPR turut mengundang Malaysian Commonwealth Studies Centre (MCSC) yang kurang dikenali untuk memantau pilihan raya.

Walau bagaimanapun, SPR tidak menyatakan syarat-syarat bagi pemerhati ini dan masih belum lagi mengenal pasti mana-mana pihak pemantau, walaupun hari penamaan calon cuma tinggal dua hari lagi.

Ekoran itu, pelbagai pihak membantahnya kerana pemerhati dari negara yang melaksanakan demokrasi utama tidak dijemput.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0