Malaysia Dateline

SPR tubuh 4 pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihanraya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mewujudkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau dan mengawal aktiviti calon dan parti politik sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia bagi memastikan aktiviti kempen pada setiap pilihan raya umum atau pilihan raya kecil dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Berhubung perkara tersebut, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.165 Tanjung Piai, SPR telah melantik sebanyak empat pasukan PP-KPR untuk memantau kempen pilihanraya bermula dari Sabtu, 2 November (Hari Penamaan Calon) dan berakhir pada Jumaat, 15 November, jam 11.59 malam.

“Pasukan ini telah mula bertugas sejak hari penamaan calon sehinggalah keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

“Keanggotaan PP-KPR sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 27C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, terdiri daripada seorang Pegawai Penguatkuasa (Ketua PP-KPR), seorang wakil PDRM, seorang wakil PBT dan seorang wakil dari setiap parti atau calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azhar lagi, fungsi dan bidang tugas PP-KPR berdasarkan kepada Seksyen 27E Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah merangkumi rondaan dan pemantauan aktiviti calon, menurunkan bahan kempen terlarang, memberhentikan ucapan/syarahan terlarang, mengawal dan aktiviti berkempen.

Difahamkan, insiden di Pasar Awam Pekan Nanas, terdapat satu kain rentang Parti Gerakan (ucapan Perayaan Deepavali), 8 unit kain rentang Pakatan Harapan & 6 unit kain rentang tanpa pemilikan yang tiada maklumat pencetak.

Pasukan PP-KPR dengan itu katanya, telah menurunkan bahan-bahan kempen tersebut dan tindakan ini adalah selaras dengan seksyen 11(1) (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5].

“Dalam masa yang sama semua bahan kempen atau cetakan tersebut juga telah diikat pada pagar pasar, iaitu struktur awam.

“Ianya tidak dibenarkan diletakkan di tempat berkenaan sama ada melibatkan bahan pameran pilihan raya atau tidak.

“Kesemua bahan kempen ini telah juga diturunkan dan tindakan ini telah dipersetujui oleh wakil parti yang hadir tanpa bantahan. Sehubungan itu, dakwaan laporan berita pada 5 November 2019 bahawa SPR tidak berlaku adil adalah tidak benar,” katanya.

Tegasnya, setiap tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh SPR adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Malah, maklumat ringkas berkaitan tindakan penguatkuasaan serta statistik laporan PDRM dan SPRM yang dipantau oleh SPR akan dipaparkan setiap hari sepanjang tempoh berkempen dalam Facebook, Twitter dan portal SPR.

Jumlah kesalahan pilihan raya yang direkodkan oleh PP-KPR dan diambil tindakan berdasarkan kepada lawatan dan pemantauan PP-KPR sehingga 6 November 2019 adalah sebanyak 37 kesalahan dan tiada laporan membabitkan SPRM dan sebanyak 42 ceramah, syarahan dan program telah dipantau SPR sehinga 6 November 2019 lepas.

Justeru itu katanya, SPR akan terus komited dalam memastikan setiap urusan pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil, telus dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.