SPR,KPM memperkenalkan QR Code dalam buku teks sekolah mengenai pendidikan pengundi

Oleh MALAYSIADATELINE

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bekerjasama untuk memperkenalkan pengunaan QR Code pada buku teks sekolah pada tahun hadapan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, KPM dan SPR memaklumkan semua pelajar dan guru di sekolah akan mendapat maklumat terkini mengenai proses penjalanan pilihan raya.

Para pelajar dan guru, kata kenyataan itu, bolehlah mendapatkan maklumat terkini dengan mengimbas QR Code tersebut. Ini akan memastikan agar semua pelajar dan guru mendapat maklumat terkini mengenai proses penjalanan pilihanraya tanpa memerlukan pindaan buku teks.

“Pihak SPR akan mengemaskini segala maklumat mengenai proses penjalanan pilihan raya apabila terdapat apa-apa perubahan atau penambahbaikan di dalam proses tersebut.

“SPR bersama Kementerian Pendidikan juga akan merancang untuk menganjurkan “Program Pendidikan Sivik – Road To School” yang melibatkan 2,436 buah sekolah menengah di Malaysia pada tahun 2020.

“Ini akan melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan6. Dianggarkan seramai 545,000 orang pelajar akan mendapat manfaat daripada program ini.

“Di samping itu, SPR juga mencadangkan penganjuran Forum/ Dialog di universiti-universiti awam untuk menimbulkan kesedaran mengenai proses demokrasi dan pilihan raya khususnya di kalangan mahasiswa dan mahasiswi dan untuk memberi penerangan mengenai pindaan had umur mengundi dan calon kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih automatik,” ujar kenyataan itu.

Menurut SPR lagi, Kementerian Pendidikan telah menyatakan sokongan penuh kepada suruhanjaya itu, terhadap semua inisiatif dan telah memaklumkan kesediaan KPM untuk membantu SPR di dalam menjalankan semua programnya di sekolah-sekolah dan insititut pengajian tinggi awam.

“KPM dan SPR akan menandatangani satu perjanjian persefahaman untuk melaksanakan program kerjasama pendidikan pengundi di kalangan para pelajar dan mahasiwa/mahasiswi dengan lebih bersepadu dalam masa terdekat,” ujar kenyataan itu lagi.

Keputusan KPM dan SPR itu diambil selepas diadakan kunjungan hormat Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun ke pejabat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik semalam.

Ini adalah susulan daripada kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam sesi Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas yang telah bersetuju sebulat suara menurunkan had umur pengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Antara yang dibincangkan antara KPM dan SPR dalam pertemuan tersebut berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, pelaksanaan program pendidikan pengundi dan silibus pembelajaran di peringkat sekolah dan universiti.

Bagi membantu SPR dalam menyebarluas maklumat tentang demokrasi dan pilihan raya, Akademi Pilihan Raya (APR) yang telah menjalankan Program Pendidikan Pengundi sejak201 7akan terus menjalankan Program APR Associate Trainer (AAT).

AAT bertujuan untuk melatih mahasiswa universiti sebagai penceramah/ jurulatih untuk mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik di kalangan para pelajar sekolah.

Setakat ini, seramai 187 orang mahasiswa dan mahasiswi telah dilatih dan dilantik menjadi AAT dan mereka sedang giat membantu SPR untuk mengendalikan program pendidikan pengundi dan pendidikan sivik di kalangan pelajar sekolah, kata kenyataan itu.