SPRM akan siasat pendedahan Sultan Johor

SPRM akan siasat pendedahan Sultan Johor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berdiam diri dan akan melakukan siasatan pendedahan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai ejen yang menjual pangkat dan darjah kebesaran di Johor Darul Ta’zim.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, SPRM akan meneliti kes tersebut.

“Kita akan melihat perkara ini. Ia adalah jenayah dan mungkin juga melibatkan rasuah.

“SPRM akan terus mengumpul maklumat,” katanya kepada Sinar Harian menerusi pesanan aplikasi Whatapss seperti dipetik.

Terdahulu, dalam satu kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa SPRM dan juga polis melakukan siasatan terhadap kegiatan sindiket seperti itu yang telah mencalar dan memburukkan institusi Kesultanan dan Raja-raja Melayu.

“Pendedahan Sultan Ibrahim tentang adanya ejen-ejen penipu menawarkan gelaran kebesaran hingga ada yang datang untuk menyogok Tuanku sebanyak RM2 juta bagi membantu mendapatkan pingat darjah ‘Tan Sri’ perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Pada Rabu, Sultan Johor memberi amaran bahawa penganugerahan gelaran serta darjah kebesaran dari negeri itu bukan untuk dijual.

Kurniaan darjah kebesaran dan pingat dari Johor adalah yang paling sukar diperoleh, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam temu bual eksklusif dengan Kumpulan Media Prima Bhd di Istana Flintstone, Mersing baru-baru ini.

TAGS