Malaysia Dateline

Menara Felda diserbu 25 pegawai SPRM semalam

SPRM ambil masa 8 jam geledah dokumen di ibu pejabat FGV

Sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa selama lapan jam bagi menyelesaikan urusan mengambil dokumen-dokumen di pejabat Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures  Holdings Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad di tingkat 45 bangunan Menara Felda di sini semalam.

Pasukan 25 orang itu tiba di perkarangan  bangunan itu, yang juga menempatkan ibu pejabat FGV pada pukul 10 pagi dan meninggalkan bangunan itu dengan membawa keluar beberapa kotak serta beg dokumen pada pukul 6 petang.

Difahamkan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung proses pengambilan dokumen itu dalam masa terdekat.

Semalam, Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products.  

Selasa lepas, Zakaria dan tiga lagi pegawai pengurusan kanan FGV dan anak syarikatnya diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta.

Selain Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Karim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading Ahmad Salman Omar telah juga diminta bercuti.

FGV memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Zakaria akan bercuti sementara menunggu hasil siasatan pelbagai urus niaga yang dijalankan oleh anak syarikatnya, Delima Oil Products Sdn Bhd.

Zakaria dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FGV pada 1 April tahun lepas.