Malaysia Dateline

SPRM angkat isu integriti menerusi teater muzikal Januari ini

Mengangkat tema integriti sebagai subjek utama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil mempersembahkan sebuah teater Muzikal Semarak Pertiwiku yang bakal dipentaskan  pada 30 dan 31 Januari ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata, teater yang dipentaskan di Kuching pada Julai lalu yang kini bakal dipentaskan di Istana Budaya, memfokuskan untuk membawa pementasan tersebut ke peringkat Nasional.

Bercakap pada sidang media tentang teater tersebut, Latheefa berkata, ia merupakan salah satu agenda bagi menentang masalah rasuah dalam negara yang semakin membimbangkan.

“Selama ini kita ada kempen perangi rasuah. Hari ini kita ada kelainan, di mana SPRM mempersembahkan program yang berbentuk pencegahan.

“Sebagaimana yang telah dipentaskan, ianya melibatkan satu cerita atau berlatarbelakangkan isu rasuah, dan skandal melibatkan orang salahguna kuasa.

“Isu rasuah satu perkara membimbangkan. Selain buat pendakwaan atau hanya menangkap, perkara utama adalah berkenaan isu pencegahan. Pementasan teater ini sebagai aktiviti mendidik masyarakat untuk menjauhi rasuah,” katanya ketika sidang media di Istana Budaya hari ini.

Teater Semarak Pertiwiku merupakan anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Istana Budaya, serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Menurutnya teater  itu dipentaskan pertama kali di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di Kuching, Sarawak pada 12 hingga 14 Julai tahun lalu.

Tambahnya lagi, pementasan kali pertama yang dibawa ke Kuala Lumpur bagi tahun 2020 ini, sebagai satu pendekatan positif untuk dipersembahkan yang akan memanfaatkan seluruh masyarakat Malaysia.

Difahamkan, Semarak PertiwiKu menggunakan dialek Melayu Sarawak yang mendekati masyarakat melalui seni.

Sebelum ini pada Oktober 2017, SPRM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka serta Aswara berjaya mementaskan naskhah bertajuk ‘Bahara Emas’.

“Melaluinya, mesej disampaikan kepada penonton tentang bahana ketamakan yang membawa kepada rasuah dan keruntuhan sebuah kerajaan.

“Begitu juga dengan Semarak Pertiwiku, pengisiannya akan membawa aspirasi kepada setiap anggota masyarakat termasuk penjawat awam supaya berintegriti tinggi. Saya yakin ia juga mampu menyemai semangat patriotisme selain mewujudkan kehidupan yang maju, aman dan sejahtera,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaari; Pengarah Projek, Abdul Walid Ali dan beberapa pelakun iaitu Ungku Ismail Aziz, Anding Indrawani Zaini dan Taufik Hanafi.