Malaysia Dateline

Mohd Azam Baki Isa Samad

SPRM belum sita harta Isa

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum lagi menyita sebarang aset milik bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan serbuan di kediamannya malam tadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata, SPRM masih menunggu hasil siasatan dan keterangan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

“Itu pun belum ditentukan bergantung kepada keterangan dan keputusan selepas perbincangan di buat saya perlu laporan lanjut dari pegawai penyiasat dan kita akan tentukan aset nak dibekukan atau bagaimana,” kata Mohd Azam.

Beliau ditemui selepas majlis ikrar bebas rasuah Menteri Besar Kelantan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Namun demikian, Mohd Azam tidak dapat memberi jaminan sama ada terdapat tangkapan lagi selepas ini.

{loadposition myposition} Siasatan melibatkan isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) dimulai sejak dua bulan dengan hampir 40 keterangan sudah diambil setakat ini.

Hari ini, Mohd Isa dikenakan perintah tahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC.

Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.

Mohd Azam juga tidak mendedahkan nama dan kaitan ahli keluarga Mohd Isa dalam siasatan yang sedang dijalankan.