Malaysia Dateline

SPRM belum teliti pemberian hibah kepada pendeposit TH, kata Shukri

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti maklumat mengenai pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014, yang didakwa bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995, sehingga agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya masih belum membuka sebarang kertas siasatan kerana perlu memastikan sama ada dakwaan itu berasas atau tidak.

“Untuk laporan semalam, setakat ini kita masih meneliti maklumat untuk pastikan ada asas atau tidak, kita tidak boleh terus buka kertas siasatan.

“Kalau ada kesalahan lain, kita akan salurkan pada pihak lain. Kita hanya tumpu pada Akta SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf semalam, bahawa langkah pengurusan terdahulu TH membayar hibah secara haram, mengakibatkan institusi itu kekurangan RM4.1 bilion.

Beliau berkata demikian mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf semalam, mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dilaporkan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Bagaimanapun, bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, berkata kenyataan Dr Mujahid itu hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017, yang menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usaha sama dan hartanah TH.