Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) rupanya telah diberi kebenaran untuk mendakwa bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sejak minggu lalu.
Tokoh konglomerat berusia 84 tahun itu bagaimanapun tidak dapat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat ekoran masalah kesihatan yang tidak dinyatakan.
Atas sebab itu, pihak SPRM terpaksa menangguhkan pendakwaan walaupun mereka sudah mendapat kebenaran pada minggu lalu daripada Jabatan Peguam Negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sempat berkongsi rasa kecewa dengan doktor yang merawat Daim kerana enggan berterus-terang kepada pegawai penyiasat.
Pegawai penyiasat SPRM dikatakan tidak diberi penjelasan oleh pakar perubatan itu soal mengapa Daim dianggap tidak mampu hadir ke mahkamah, lapor Malaysia Kini.
“Selepas mendapatkan izin untuk mendakwa, kita (pihak SPRM) maklumkan peguam yang mewakili Daim bagi membawanya ke mahkamah (menghadapi pertuduhan).
“Kita (kemudiannya) dimaklumkan Daim dimasukkan ke sebuah hospital (swasta). Berdasarkan maklumat, dia masuk ke hospital sebelum kita dapat izin mendakwa lagi.
“Itu betullah. Tetapi (apabila) kita bertanya mengenai waktu Daim boleh dikeluarkan dari hospital, doktor pula tak nak bagi jawapan yang betul,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.
Jelas Azam, Daim dijangka berdepan sekurang-kurangnya satu pertuduhan kerana gagal mengisytiharkan beberapa harta dimilikinya bersama isteri, Toh Puan Na’imah.
Sekarang ini, pilihan terakhir yang tinggal buat agensi itu adalah membawa seorang hakim ke hospital berkenaan supaya pertuduhan dapat dibacakan kepada Daim.
“Tetapi, itu bukanlah pilihan kami yang sebenarnya. Kalau tak, ketika masuk hospital minggu lalu kita sudah boleh tuduh. Kami sudah berhubungan dengan peguamnya.” Ulasnya.
Semalam, isteri Daim iaitu Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan aset dimilikinya.
Na’imah yang didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 itu boleh dipenjara maksimum selama lima tahun dan denda hingga RM100,000, jika didapati bersalah.
Wanita berusia 66 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan tersebut dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.
Baca juga: Gagal isytihar 12 harta, isteri bekas Menteri Kewangan akhirnya didakwa