AMANAH dan DAP menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih tidak tahu punca penurunan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah CPI menunjukkan SPRM sebenarnya bukan penyelesaian kepada masalah tetapi merupakan masalah.
Penurunan CPI daripada tangga 51 dalam Laporan TI-CPI 2019 dengan 53 mata berbanding kedudukan semasa iaitu tangga 62 dengan hanya 48 mata dalam Laporan 2021 terkini.
Sejak dua tahun kebelakangan ini, Menurut Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng SPRM secara konsisten dan berterusan membenarkan badan tersebut digunakan sebagai senjata politik terhadap ahli politik pembangkang dengan ancaman penyiasatan dan pendakwaan yang hanya akan gugur secara ajaib apabila ahli parlimen pembangkang tersebut berpaling tadah dan menyokong Perdana Menteri yang tidak dipilih.
Tambahnya, SPRM telah gagal melaksanakan kewajipan undang-undangnya untuk bertindak secara adil, bebas dan profesional dalam cara yang telus tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Lebih teruk lagi, SPRM sendiri dipenuhi dengan salah guna kuasa dan amalan rasuah apabila penguatkuasa undang-undang menjadi penjenayah.
“Kenyataan SPRM bukanlah penyelesaian kepada masalah tetapi merupakan masalah diperkukuhkan lagi oleh 17 kes salah guna kuasa yang ketara di mana SPRM gagal bertindak,” katanya.
17 Kes yang dinyatakan AMANAH dan DAp itu adalah;
Penipuan pemilikan saham ketua SPRM Azam Baki apabila dia cuba menutup kekayaan sahamnya yang tidak dapat dijelaskan dan urus niaga yang melibatkan berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit dengan berbohong bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya secara proksi walaupun telah didedahkan bahawa Azam merupakan satu-satunya pengendali.
Kegagalan untuk bertindak ke atas pendedahan kertas Pandora yang mendedahkan penglibatan ahli politik terkemuka dalam aliran keluar wang haram ke dalam akaun luar pesisir yang melibatkan berbilion ringgit.
Tiada tindakan terhadap bekas pengerusi Prasarana Berhad dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas beliau ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan salah guna kuasa pada Mei 2021.
Rakam audio bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menawarkan jawatan politik dan kedudukan dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran untuk sokongan politik. Ahli Parlimen UMNO Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa beliau menolak tawaran untuk menjadi Pengerusi Petronas kerana bercanggah dengan perlembagaan. Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan menolak tawaran menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Bhd;
Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, yang melompat daripada PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa Muhyiddin menjanjikannya jawatan rasmi yang akan memberikannya platform untuk membina semula ekonomi negara. Adakah ini bukan satu bentuk suapan untuk Steven Choong melompat?
Kemampuan meragukan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun menyelesaikan saman muflis bagi hutang berjumlah RM1.3 juta, apabila dia telah mengisytiharkan aset hanya bernilai RM72,000 pada 20 November 2019 dengan pendapatan bulanan RM34,000. Dia enggan menjelaskan sumber kekayaannya itu.
Tindakan lompat parti oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang pada tahun 2020, yang dipacu oleh Tan Sri Musa Aman. Percubaan menubuhkan kerajaan pintu belakang di Sabah ini akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah dan pilihan raya negeri, yang menyebabkan gelombang kedua peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara. Tan Sri Musa Aman kemudiannya dilantik sebagai Menteri di Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mendedahkan bahawa pemimpin kerajaan negeri Sabah sebelum ini telah menganugerahkan 700,000 ekar tanah hutan simpan di bawah Yayasan Sabah kepada “rakan dan keluarga”.
Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, menulis surat sokongan agar anaknya dilantik menjadi Lembaga Pengarah Pharmaniaga, sebuah syarikat di bawah pengawasan dan kuasa Kementerian Pertahanan. Menteri Pertahanan ketika itu, Ismail Sabri telah bersetuju dengan saranan Timbalannya.
Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Annuar Musa menulis surat sokongan yang menyokong sebuah syarikat kontraktor untuk dianugerahkan projek lebuh raya besar di Kelantan melalui rundingan terus.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berjanji untuk menggunakan jawatan awamnya untuk mengeluarkan surat sokongan sebagai pertukaran undi dalam pemilihan Pemuda Bersatu.
Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen telah meminta SPRM bertindak selepas mendedahkan bahawa bekas Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai memberikan kontrak RM149.5 juta secara rundingan terus kepada syarikat yang sebahagiannya dimiliki (25%) oleh Timbalan Menteri Wee Jeck Seng.
Pendedahan bekas Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador tentang kartel pegawai polis yang korup, termasuk bekas KPN, yang berada dalam senarai bayaran sindiket jenayah. SPRM adalah salah dalam keengganan untuk bertindak dengan alasan itu adalah masalah dalaman polis. Rasuah tidak boleh diselesaikan secara dalaman tetapi diselesaikan secara terbuka di mahkamah.
Pemberian kontrak kerajaan persekutuan kepada pemegang jawatan Bersatu dalam mesyuarat politik Bersatu.
Siasatan terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar oleh SPRM, yang menurut bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak melibatkan RM78.2 juta, menjadi reda selepas Xavier melompat parti dan menyokong Muhyiddin;
Lima Ahli Parlimen PKR menolak tawaran atau dikenakan ugutan untuk lompat parti dan menyokong Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail. Tiada tindakan terhadap mereka yang cuba mencetuskan pembelotan 5 ahli parlimen PKR.
Ketua SPRM Azam Baki enggan bercuti bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan SPRM yang dilakukan secara senyap-senyap berikutan penahanan tiga pegawai kanan SPRM kerana salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan AS$6 juta (RM25 juta) milik bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abdul Hamid.
Justeru, AMANAH dan DAP menggesa SPRM tampil membersihkan namanya dan menjelaskan mengapa masih tiada tindakan terhadap 17 kes ini.
Katanya, kegagalan untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dan bertanggungjawab, hanya akan menyebabkan kedudukan CPI Malaysia merosot lagi tahun ini dan menyebabkan keyakinan pelabur dan daya saing Malaysia semakin merosot.