SPRM buru Jho Low dan Nik Faisal

Gambar Nik Faisal dan Jho Low yang dikeluarkan oleh SPRM.

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini secara rasmi memaklumkan mereka sedang memburu Jho Low atau nama sebenarnya Low Tek Jho.

Turut diburu adalah Pengarah SRC, Nik Faisal Arif Kamil Nik Othman Arif Kamil.

“SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu berkenaan agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Kanan Pesuruhjaya Rosli Husain di talian 03-88700529 atau 010-3187757 atau email kepada [email protected] atau mana-mana pejabat SPRM terdekat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan SPRM itu, kedua-dua mereka diminta agar menghubungi SPRM dengan segera bagi membantu kes berkaitan SRC International Sdn Bhd (SRC).

SPRM turut mendedahkan nombor kad pengenalan Nik Faisal dan alamat terakhir diketahui di No. 17 dan 19, Jalan Tun Teja 35/16, Alam Impian, Shah Alam Selangor.

Jho Low, 36, diketahui adalah rakan rapat dan penasihat perniagaan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Alamat terakhir Jho Low ialah 69, Tanjung Bungah Park, Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menuduhnya menjadi dalang di sebalik skandal 1MDB yang menyaksikan berbilion wang diselewengkan daripada syarikat pelaburan negara itu.

Walaupun tidak pernah memegang jawatan rasmi dalam 1MDB, beliau dikatakan menjadi salah seorang benefisiari dana yang kemudian digunakan bagi pembelian hartanah mewah dan aset seperti kapal layar, lukisan dan barang kemas.

Di mana Low berada tidak diketahui selama ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata kerajaan “secara kasarnya” tahu di mana ahli perniagaan itu berada.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyidin Yasin pula yakin Jho Low akan ditangkap secepat mungkin.

 

 

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0