SPRM cekup 4 pengurus kanan Felda

SPRM cekup 4 pengurus kanan Felda

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan empat individu, termasuk seorang bergelar “Datuk” daripada Felda kerana dipercayai menyalah guna kedudukan untuk kepentingan sendiri.

Turut ditahan dalam Op Caviar itu seorang pegawai harta tanahnya di London.

Menurut sumber, seperti dilapor Malaysiakini hari ini, kesemua suspek disyaki terlibat dalam penyelewengan projek pemindahan teknologi pentenakan ikan sturgeon bernilai kira-kira AS$10 juta (RM47.6 juta) sejak 2014.

Suspek didakwa menubuhkan sebuah anak syarikat pada Januari 2014 dan menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat penternakan ikan stugeon di Korea tanpa pengetahuan lembaga pengarah, bahagian perundangan dan bahagian kewangan Felda.

Siasatan awal SPRM mendapati walaupun projek itu tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar, Pahang, pembayaran mula dibuat kepada syarikat Korea itu seminggu selepas anak syarikat ditubuhkan.

Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di antara jam 11.30 pagi dan 1.30 petang.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Beliau juga berkata pihaknya telah merampas dokumen-dokumen berhubung projek tersebut untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek dijangka akan dibawa ke mahkamah majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok.

Manakala Bernama pula melaporkan daripada sumber SPRM 

seorang daripada mereka bergelar Datuk, seorang lagi menyandang jawatan tinggi, seorang bertugas di luar negara dan seorang lagi pegawai yang terbabit dalam projek penternakan ikan itu.

Kesemua mereka berusia 30, 38, 53 dan 57 tahun.

“Mereka dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri,” kata sumber itu ketika dihubungi Bernama di sini.
Sumber SPRM itu berkata dalam satu mesyuarat pada Januari 2013, Lembaga Pengarah Felda telah meminta suspek yang menyandang jawatan tinggi itu supaya menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek berkenaan untuk dibentangkan.

Sumber itu berkata suspek berkenaan sebaliknya menubuhkan Felda Carviative Sdn Bhd (FCSB) pada Januari 2014 tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan Felda.

COMMENTS

Wordpress (0)