Malaysia Dateline

SPRM dedah audio: Najib terkejut, rujuk peguam teliti kandungan

Datuk Seri Najib Tun Razak terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan siri sembilan rakaman audio antaranya yang didakwa melibatkan perbualan bekas perdana menteri itu dengan beberapa individu dan pemimpin luar negara.

Perbualan telefon itu dikaitkan dengan perbincangan dengan beberapa pihak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd yang kini sedang dibicarakan serentak di Mahkamah Tinggi.

 Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan ketika ditemui wartawan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta juga melahirkan rasa hairan kerana pendedahan  seumpama itu pertama kali berlaku dalam sejarah negara.

“Saya terkejut dan sedang meneliti kandungan rakaman itu dan telah mengarahkan peguam saya untuk melihat isu ini sebelum apa-apa tindakan kelak.

“Ini tidak pernah dilakukan dalam sejarah negara selama ini. Dan sememangnya ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pula,” katanya ringkas sebentar tadi sepertik dipetik laporan Malaysiagazette hari ini.

 Ditanya adakah perbualan itu benar-benar berlaku, Najib berkata, beliau akan meneliti kandungan rakaman audio.

Mengenai soalan rakaman video itu menunjukkan telefon bimbit beliau ”diintip, katanya, perkara itu juga akan diteliti sambil menambah perbuatan (tapping) jika benar, ia telah dilakukan ketika beliau merupakan seorang Ketua Negara.

“Saya Ketua Negara ketika Itu. Bagi saya kaji dari sudut undang-undang dan apa yang saya boleh lakukan,” katanya.

Hari ini, SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Pada sidang media khas itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mendakwa, semua rakaman percakapan yang didedahkan didakwa pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

Antaranya, rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal dana 1MDB kepada Najib pada 2016.

Rakaman suara perbualan telefon yang diperoleh SPRM baru-baru ini oleh entiti yang tidak didedahkan itu, didakwa membabitkan sekurang-kurangnya 20 individu, sama ada secara langsung dan tidak langsung, yang berlaku antara 5 Januari 2016 hingga 29 Julai 2016.

Antara rakaman berkenaan iaitu Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Dzulkifli; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin serta Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak