Malaysia Dateline

SPRM dedah rakaman video aktiviti penyeludupan di utara tanah air

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendedahkan rakaman video kepada pihak media yang membabitkan aktiviti penyeludupan di Padang Besar, Perlis.

Video berdurasi 11 minit itu memaparkan aktiviti penyeludupan sedang rancak dijalankan dengan menggunakan kereta dan motosikal untuk mengangkut barang yang di seludup.

Menurut Ketua Cawangan Audio Video, Bahagian Forensik SPRM, Penguasa Kanan Badri Azni, modus operandi yang digunakan adalah cukup mudah dengan berjumpa anggota keselamatan yang bertugas di sempadan dan mendapatkan kebenaran untuk memulakan aktiviti penyeludupan.

Badri Azni

Beliau berkata, aktiviti penyeludupan itu sering menggunakan waktu pertukaran shif anggota keselamatan iaitu seawal jam 6 pagi sehingga jam 9 pagi.

“Setiap kali hendak melakukan aktiviti seludup ini, penyeludup akan cuba menghampiri anggota keselamatan dan adakala dirakam memberikan sesuatu yang disyaki wang rasuah sebagai upah kerana anggota memberikan kebenaran.

“Mereka tidak takut dan tidak gentar dengan undang-undang kerana dengan beraninya merentasi laluan pemeriksaan dan menghampiri pagar sempadan sambil memikul barangan.

“Kem-kem penyeludup pula terletak berhampiran dengan pos kawalan yang digunakan oleh anggota untuk melakukan pemantauan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan Pengarah Bahagian Forensik SPRM Timbalan Pesuruhjaya, Husin Mohamad Nasir.

Berdasarkan bungkusan guni yang terdapat dalam rakaman video berkenaan, Badri berkata, pihaknya mengesyaki ia adalah daun ketum.

“Ini kerana, setiap penyeludup dilihat mampu berlari dan mengangkat karung tersebut dengan mudah.

“Untuk makluman, harga daun ketum di negara kita adalah RM18 untuk sekilo gram, manakala harga di negara jiran mencecah sehingga RM100 sekilo gram. Tidak mustahil daun ketum ini menjadi lubuk yang boleh mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda kepada penyeludup,” jelasnya.

Dalam sidang media hari ini, Badri turut menerangkan antara barangan yang diseludup adalah tepung, minyak masak, bawang dan barangan runcit yang harganya lebih murah di Malaysia berbanding negara jiran.

“Barang bersubsidi lain yang diseludup adalah baja, diesel dan petrol,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, Latheefa menegaskan bahawa pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras aktiviti penyeludupan tersebut.

“Kita tak mahu keadaan ini berterusan, kita dedahkan klip video ini supaya penyeludup tahu mereka sentiasa diperhatikan.

“Berkaitan jadual pertukaran tugas anggota, ia jatuh di bawah kuasa polis dan ini membolehkan mereka mengenal pasti anggota yang terbabit dengan rasuah.

“Aktiviti penyeludupan ini juga boleh terjadi dengan melibatkan dua negara iaitu Thailand dan Malaysia, bukan satu negara sahaja. Video yang kami tunjukkan ini adalah hasil kompilasi sejak awal 2017 sehingga tahun ini (terkini,” ujarnya.