Malaysia Dateline

SPRM didesak siasat agensi kerajaan tidak patuhi syarat kelulusan kompleks

Pertubuhan Pemilik Kompleks BM City, Bukit Mertajam mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara serius dan tegas terhadap kegagalan beberapa agensi kerajaan yang tidak mematuhi beberapa aspek keselamatan di bangunan tersebut walaupun beberapa aduan telah dibuat oleh mereka.

Setiausahanya, Phan Sow Sun ketika ditemui semalam berkata, kegagalan agensi kerajaan terlibat melaksanakan segala tanggungjawab mereka sejak tiga tahun yang lalu membuatkan ratusan nyawa yang berada dalam kompleks tersebut dalam kebimbangan.

Malah katanya, aduan telah dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai kegagalan sistem keselamatan Bomba di kompleks tersebut sejak sekian lama, namun begitu sehingga kini masalah tersebut belum berjaya diselesaikan walaupun telah tiga tahun perkara ini dibangkitkan.

“Kami terpaksa meminta supaya SPRM campur tangan kerana keadaan Sistem Keselamatan Bomba di Kompleks BM City berada dalam keadaan yang amat membimbangkan kerana didapati tidak mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Apa yang membimbangkan ialah keselamatan peniaga dan mereka yang berada dalam kompleks ini kerana terdapat unsur-unsur penipuan sehinggakan kelulusan pelan boleh diperolehi sedangkan ianya tidak mengikut undang-unddang 1984 ddan kelulusan pelan.

“Amat mencurigakan apabila keselamatan diperagakan sehinggakan nyawa dan keselamatan tidak diberi keutamaan dan amat membimbangkan kami sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Menurut Phan lagi, sebelum ini Unit Integriti, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah pun menubuhkan Jawatankuasa Penyiasat pada 25 Oktober 2018 bagi menyiasat kenapa Sistem Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) boleh diluluskan dan disokong tanpa penyiasatan yang lebih serius dan teliti.

“Kini kami berada dalam kebimbangan dan menjadi mangsa keselamatan diperagakan akibat ketidakpatuhan undang-undang dan peraturan keselamatan di kompleks ini.

“568 nyawa mereka yang berada dalam kompleks ini terancam sekiranya Sistem Keselamatan Bomba tidak diberi perhatian serius selepas ini.

“Tinjauan dan siasatan yang telah dilakukan oleh pihak pertubuhan mendapati terdapat unsur-unsur penipuan dan kecuaian apabila kebanyakan kawasan bangunan setinggi 23 tingkat tidak disediakan sistem keselamatan mengikut ‘Uniform Building By Law’ terutamanya di

Pawagam, Pusat Gym dan bilik Mechanical and Electrical (M&E), Low Voltage Room,” ujarnya lagi.

Datuk Ong Chuan Jin

Manakala Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang, Datuk Ong Chuan Jin pula berkata, SPRM harus segera menyiasat perkara ini kerana ia telah pun berlarutan sejak sekian lama.

Tambahnya, keselamatan peniaga dan mereka yang berada dalam kompleks ini mesti diberi keutamaan.

“Yayasan Anti Rasuah Malaysia Pulau Pinang amat yakin dengan kemampuan SPRM dibawah kepimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya untuk menyiasat secara serius aduan dan laporan pertubuhan peniaga tersebut.

“Isu ini telah berlarutan begitu lama dan sewajarnya diberi keutamaan oleh SPRM kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai yang berada dalam kompleks tersebut.

“Yang pasti siasatan mesti segera dilaksanakan termasuklah keatas agensi-agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak berkuasa tempatan,” tambah beliau.