Malaysia Dateline

SPRM didesak siasat dakwaan pimpinan tertinggi Bersatu pulun 8 jawatan GLC

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia, Akmal Nasir menuntut penjelasan terbuka daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berhubung dakwaan seorang pimpinan tertinggi Bersatu memegang lapan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Parlimen Johor Bahru berkenaan juga mendesak agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap perkara ini.

Menurutnya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Suhaili Abdul Rahman telah dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat berkaitan MARA.

Berdasarkan laporan media serta semakan dengan beberapa sumber pemberi maklumat, jelasnya, mendapati bahawa Suhaili dilantik dalam Mara Corporation Sdn Bhd, Pelaburan Mara Berhad, PMB Tijari Berhad, Mara Incorporated Sdn Bhd dan Glocal Link (M) Sdn Bhd.

“Selain daripada memegang lima jawatan Lembaga Pengarah bagi syarikat-syarikat tersebut, lebih membimbangkan lagi apabila terdapat laporan yang menyatakan bahawa pimpinan PPBM yang sama ini bakal dilantik sebagai Ahli Lembaga pengarah tiga lagi syarikat iaitu Kolej Polytech Mara Sdn Bhd (KPTM), Med Bumikar Mara Sdn Bhd (MBM) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL),” dedahnya dalam kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Akmal mempersoal sejauhmana kebenaran dakwaan bahawa Suhaili
kini memegang lima jawatan Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat berkaitan Mara Corporation Sdn Bhd dan bakal memegang keseluruhan lapan Ahli Lembaga Pengarah.

“Bagaimana kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh membiarkan Scheme of things terus berlaku ketika mana barisan hadapan sedang bertungkus-lumus berjuang menyelamatkan nyawa rakyat manakala rakyat biasa terpaksa berhadapan dengan kesengsaraan ekonomi?

“Berapakah pulangan atau elaun yang diterima oleh beliau serta apakah keputusan-keputusan penting terutamanya yang melibatkan pelaburan, dana atau perbelanjaan yang telah dibuat semenjak beliau menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi setiap syarikat tersebut?” soalnya.

Dalam masa sama, Akmal bertanyakan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden PPBM tahu dan sedar mengenai hal yang berlaku dalam kalangan pimpinan tertinggi parti tersebut.

Beliau menegaskan urus tadbir kerajaan PN melalui amalan Scheme of things semakin keterlaluan dengan lambakan lantikan politik bagi mengisi jawatan tertentu dalam agensi dan GLC dilihat berpotensi menjejaskan prestasi syarikat terbabit.

“Amalan tidak sihat yang berlaku dalam Mara Corporation Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat pelaburan milik Majlis Amanah Rakyat (MARA), sejak berlakunya episod ‘Langkah Sheraton’ pada tahun lepas amat membimbangkan.

“Kini keadaan semakin membarah apabila terdapat lantikan-lantikan yang bakal dibuat melibatkan institusi pengajian tinggi MARA,” tambahnya lagi.

Oleh sebab itu, Akmal menuntut persidangan Parlimen wajib disegerakan bagi memastikan proses semak dan imbang berlaku agar kemungkinan berlakunya ketirisan dan penyalahgunaan kuasa dapat dielak.