Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) campur tangan dalam isu penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Beliau mengesyaki ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa berlaku dalam isu ini kerana Akta itu digunakan untuk memaksa pemilik menyerahkan tanah mereka untuk dimajukan oleh pemaju membangunkan projek komersial yang tidak dipersetujui oleh mereka.
“SPRM kena ambil tahu apa yang berlaku, tidak mustahil bila nampak kerajaan, menteri dan PKB ghairah sangat untuk gunakan Akta bagi mengambil tanah ini, ada unsur rasuah,” kata beliau dalam sidang media bersama pemilik tanah Kampung Sungai Baru semalam.
Dalam sidang media itu juga Khalid mencadangkan agar pemilik atau mana-mana pihak membuat laporan kepada SPRM dan juga polis untuk menyiasat perkara ini.
Perjumpaan libat urus untuk menyelesaikan isu tanah Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur 7 Jun lepas gagal mencapai kata sepakat apabila penduduk membantah kegagalan pemaju projek berkenaan hadir dalam sessi itu.
Pemaju hanya diwakili oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) yang tidak dipersetujui oleh pemilik tanah di situ kerana badan kerajaan itu sepatutnya menjadi orang tengah bukannya mewakili pemaju.
Perkara ini dinyatakan dalam sidang media yang diadakan oleh wakil pemilik tanah Kampung Sungai Baru bersama dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad semalam.
“Kami cadangkan dua perkara dalam libat urus 7 Jun lepas. Pertama batalkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah dalam isu ini kerana jika ia diteruskan, tiada makna rundingan ini kerana akta ini akan dipaksakan ke atas penduduk.
“Yang kedua kami bawa penilaian yang dibuat oleh penilai bebas dan kami menuntut tanah kami dibeli dengan nilai RM1500 sekaki persegi,” kata wakil pemilik tanah Kampung Sungai Baru, Kampung Baru itu.
Pemilik tanah Kampung Sungai Baru hanya ditawarkan RM450 sekaki persegi oleh pemaju.
Khalid dalam sidang media itu bersetuju dengan kadar penilai bebas itu kerana semasa kerajaan Pakatan Harapan mahu mengambil tanah di bawah Malay Agriculture Settlement (MAS) yang mempunyai pelbagai sekatan pun, nilai yang kerajaan tawarkan adalah RM1,000 sekaki persegi.
“Ini tanah pegangan bebas, bukan ada kawalan sebagaimana tanah MAS. Ini prime land di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Jadi harga yang dinilaikan itu wajar,” kata Khalid yang ketika menjadi menteri berusaha menyelesaikan isu pembangunan tanah di bawah MAS di Kampung Baru.
Dalam sidang media ini juga Khalid dan juga wakil pemilik tanah melahirkan rasa kesal dengan tindakan kerajaan membenarkan PKB menjadi wakil pemaju.
“Sepatutnya agensi kerajaan mewakili penduduk atau sekurang-kurangnya orang tengah bukan wakil pemaju.
“Ini tidak, mewakili pemaju runding dengan pemilik tetapi pemaju sendiri tidak datang.
“Sepatutnya biarkan pemaju yang runding dengan penduduk, kerajaan menjadi orang tengah sahaja tetapi apa yang berlaku bila pemilik tak setuju, kerajaan guna undang-undang untuk ambil tanah untuk projek komersial, paksa pemilik tanah terima,” katanya yang mendesak agar perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri campur tangan bagi membela penduduk di situ.
Dalam sidang media itu juga, Khalid mendedahkan Pengerusi PKB adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa iaitu Datuk Efendi Zahari yang berdepan dengan pelbagai dakwaan.
Khalid berkata, beliau sendiri akan berusaha menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri dari para peguam bagi mengkaji tindakan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam kes ini terutama dari segi prosedurnya bagi mencabar penggunaan akta ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru menggesa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) menangguhkan sesi pendengaran kedua pengambilan tanah ini dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang dijadualkan pada 19 Januari nanti.
Ini kerana selepas sessi pendengaran kedua, kata putus biasanya akan dibuat untuk menguatkuasakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan tanah itu akan dirampas dengan diberikan pampasan yang ditetapkan kerajaan.
Jawatankuasa itu yang mewakili 61 penghuni rumah teres dari Kampung Sungai Baru meminta Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim agar turun padang menyelesaikan isu berbangkit berhubung pengambilan tanah kampung itu.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
Pada Julai 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, penduduknya khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 sekaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.
Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.