Malaysia Dateline

SPRM digesa jangan berdiam diri selepas pendedahan Ketua Polis Negara

SPRM harus berani dan peka untuk mengambil tindakan terhadap kenyataan ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Hamid Bador yang mendesak agar badan tersebut menyiasat dakwaan salah laku dalam kerajaan PN dan ahli-ahli politik yang berkuasa serta ‘katak-katak yang melompat ke sana-sini’ yang dipercayai wujudnya unsur rasuah.

Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa (gambar) dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline berkata, SPRM harus menyiasat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dilihat mencampuri pentadbiran PDRM yang sepatutnya tidak harus berlaku.

“Membiarkan tindakan sebegini boleh mengundang wujudnya amalan rasuah dan akan lebih parah salah guna kuasa apabila dakwaan aduan telah dibuat kepada Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara, namun tiada apa-apa tindakan sehingga kini.

“Ketegasan Abdul Hamid yang menyatakan bahawa berlakunya amalan rasuah dikalangan orang politik dan mendesak SPRM campur tangan menyiasat isu tersebut tidak harus dipandang enteng kerana ia boleh menyebabkan kerosakan berpanjangan apabila tiada tindakan segera diambil.

“Negara menuju kehancuran jika perkara ini dibiarkan dan rakyat wajar menolak mereka yang terlibat dan bersekongkol secara habis-habisan kerana negara ini perlu segera diselamatkan,” ujar beliau.

Tambah Fariz, daripada ucapan dan kenyataan berani KPN terbukti wujudnya kerosakan, rasuah dan unsur-unsur mabuk kuasa yang tidak harus dibiarkan berleluasa.

Maka itu kata Fariz lagi, Jingga 13 Malaysia amat kesal sekiranya kenyataan yang dibuat secara terbuka oleh KPN tidak diambil tindakan oleh SPRM kerana apa yang diungkapkan oleh beliau amat serius serta tidak harus ada ‘double standard’ dalam usaha mewujudkan keadilan terhadap semua golongan masyarakat.