Malaysia Dateline

SPRM digesa siasat pengeluar lesen terpakai vesel Zon C2

Kira-kira 500 nelayan Pantai Timur hari ini mengadakan demonstrasi secara aman, bagi membantah penyalahgunaan lesen-lesen terpakai vesel Zon C2 dan kelulusan tentang pembelian vesel terpakai dari luar negara.

Demonstrasi di hadapan pintu masuk bangunan Parlimen yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi itu, antara lain turut membantah berhubung operasi bot laut dalam C dan C2 pukat hijau dan mencandat sotong khususnya melibatkan nelayan Vietnam.

Sehubungan itu, Ketua wakil nelayan Pantai Timur, Bahiyuddin Awang menggesa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap jabatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen tersebut.

Lima tahun lalu, Bahiyuddin mendedahkan terdapat lebih 100 lesen bot disewakan di seluruh negara melibatkan nelayan warga asing.

“Kalau membanteras pencerobohan sahaja tanpa membatalkan lesen, masalah ini tidak akan selesai sampai bila-bila. Nelayan tanggung sengsara, negara pula menanggung kerugian.

“Kami mendesak kerajaan tarik balik lesen-lesen C2 bot terpakai yang pernah dikeluarkan. Timbul masalah apabila rakyat Malaysia sendiri yang sewa lesen itu kepada nelayan dari Vietnam.

“Sebagai contoh, mereka (nelayan asing) menggunakan pukat tunda ganding yang telah diharamkan oleh kerajaan negara kita di bawah Akta Perikanan 1985.

“Satu pukat dua buah bot, bila mereka datang ke perairan kita menggunakan peralatan haram itu, terumbu karang rosak, tempat pembiakan ikan-ikan juga rosak.

“Seandainya pukat yang digunakan nelayan warga asing lalu di kawasan tangakan ikan, semua peralatan peralatan nelayan akan rosak dan akan hilang. Pencerobohan nelayan Vietnam ini menyebabkan 100 peratus nelayan laut dalam terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Bangunan Parlimen, selepas mengadakan demonstrasi itu.

Dalam himpunan itu, wakil kumpulan nelayan turut menyerahkan memorandum kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang yang diwakili Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beberapa orang wakil nelayan kemudiannya turut menyerahkan memorandum serta mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.