SPRM digesa siasat penipuan permohonan rumah mampu milik Johor

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat penyalahgunaan kuasa pemimpin Umno dalam proses permohonan rumah mampu milik Johor (RMMJ) bagi membolehkan parti itu menambah pengundi di sesuatu kawasan secara terancang melalui kaedah yang tidak sah disisi undang-undang.

SPRM digesa siasat penipuan permohonan rumah mampu milik Johor

Malah Pakatan Harapan (PH) Johor mahu akuan bersumpah bekas broker jualan rumah, Umi Kalsom Jaafar dan Abdul Hamid Soaip pada 23 Februari 2017 yang mengakui kegiatan penambahan pengundi di parlimen Gelang Patah dilakukan dengan pertukaran kepentingan dalam proses permohonan RMMJ di bawah Kuota Menegak Kerajaan (KMK) disiasat SPRM.

Dalam satu kenyataan media bersama AMANAH, DAP, PKR dan PPBM Johor, SPRM juga digesa segera membuka kertas siasatan terhadap kes ini termasuk membuat siasatan terhadap amalan KMK yang bukan merupakan polisi  Dasar Perumahan Rakyat Johor 2012.

Siasatan SPRM ini, ujar PH penting terutama dalam usaha menghapuskan budaya rasuah dan penyalahgunaan  kuasa dalam kerajaan negeri Johor.

“Pada bulan Mac yang lalu, media telah melaporkan bahawa seorang pemimpin Pemuda Umno ditahan polis di bawah Seksyen 420, Kanun Keseksaan berhubung dengan kes penipuan pembelian RMMJ. Walau bagaimanapun, tiada sebarang perkembangan lanjut tentang kes tersebut sehingga sekarang.

“Mengikut maklumat terkini yang perolehi, kes ini bukannya kes penipuan biasa, tetapi melibatkan salahguna kuasa dan dipercayai mempunyai unsur rasuah dalam proses permohonan RMMJ. Justeru itu, SPRM wajib menyiasat kes ini,” kenyataan media itu dipetik.

Umi Kalsom Jaafar @ Jaffery dan Abdul Hamid Soaip dalam kenyataan bersumpah mereka bertarikh 23 Februari 2017 mengakui kegiatan penambahan pengundi di Parlimen Gelang Patah dilakukan dengan pertukaran kepentingan dalam proses permohonan RMMJ di bawah KMK.

{loadposition myposition}

Umi Kalsom mengakui bahawa beliau bertindak sebagai broker permohonan RMMJ melalui Kuota KMK dengan dibantu Ketua Pemuda Umno Gelang Patah Abdul Hamid Soaip dan Ketua Umno Gelang Patah Mohammad Khairi A. Malik.

“Kedua-dua pemimpin Umno ini telah memberikan pertolongan kepada perniagaan broker Umi Kalsom dan sebagai balasan Umi Kalsom telah melaksanakan kerja-kerja penambahan seramai 3,000 orang pengundi di Parlimen Gelang Patah khususnya di Dun Nusajaya.

“Umi Kalsom juga mengakui menerima sejumlah bayaran yang ditetapkan oleh beliau sendiri daripada setiap pemohon RMMJ,” kenyataan bersama itu dipetik.

Setiausaha politik menteri besar Johor Mohammad Khairi A. Malik diyakini mengetahui urus niaga tersebut malah terlibat dalam memberi pertolongan kepada Umi Kalsom.

“Jelas sekali Mohammad Khairi A. Malik telah menyalahguna kuasa jawatan yang disandangnya dalam kerajaan untuk tujuan tersebut.

“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak supaya Mohammad Khairi A. Malik meletakan jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar Johor,” ujar kenyataan itu.

PH Johor menegaskan bahawa pemimpin Umno negeri terbukti telah menyalahguna kuasa dalam proses permohonan RMMJ demi menjaga kepentingan kroni-kroni dalam rangkaian politik mereka.

Kes ini juga, tambah mereka membuktikan Umno telah melakukan aktiviti menambah pengundi di sesuatu kawasan secara terancang melalui kaedah yang tidak sah disisi undang-undang.

“Dengan ini, Pakatan Harapan Johor mendesak SPRM agar segera membuka kertas siasatan terhadap kes ini termasuk membuat siasatan ke atas amalan kuota KMK yang mana ianya bukanlah merupakan sebahagian daripada polisi dalam Dasar Perumahan Rakyat Johor 2012.

“Siasatan SPRM ini penting terutama dalam usaha untuk menghapuskan budaya rasuah dan penyalah gunaan kuasa dalam kerajaan negeri Johor,” kenyataan itu dipetik.