Malaysia Dateline

SPRM digesa teruskan siasatan skandal tajaan TRW oleh Mara

Pemuda AMANAH Nasional (AMANAH) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan berhubung skandal tajaan pasukan bolasepak The Red Warrior (TRW) oleh dua anak syarikat milik Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Timbalan Ketua Pemudanya Faiz Fadzil berkata, tujuan pembayaran tersebut telah menyimpang daripada tujuan asal Mara yang seharusnya digunakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan orang Melayu terutamanya dalam bidang pendidikan dan perniagaan.

Justeru tindakan SPRM membebaskan bekas Pengerusi Mara Tan Sri Annuar tanpa sebarang dakwaan amat memeranjatkan dan menimbulkan pelbagai persepsi negatif dikalangan masyarakat.

“SPRM seolah-olah dilihat telah bertindak sebagai hakim dengan membebaskan beliau tanpa sebarang pendakwaan.

“Ini adalah kerana Tan Sri Annuar ketika kejadian adalah Pengerusi Mara dan Penasihat pasukan TRW dengan itu boleh dianggap mempunyai percanggahan kepentingan dalam kedua-dua entiti.

“Kemungkinan wujudnya elemen jenayah seperti penyelewengan, pecah amanah, penipuan atau rasuah dalam skandal penajaan wang MARA ini memerlukan siasatan lanjut secara menyeluruh dan bebas oleh pihak SPRM,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan SPRM semalam bahawa pihak pendakwa raya telah memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihak pendakwa raya telah meneliti kertas siasatan isu terbabit.

Bagaimanapun Faiz yang juga seorang peguam berkata, SPRM dan Peguam Negara tidak boleh dengan mudah menutup siasatan skandal ini.

Apabila pihak Pendakwaraya memutuskan Annuar tidak akan didakwa berhubung skandal penajaaan wang Mara untuk pasukan bolasepak The Red Warriors (TRW) oleh anak syarikat milik MARA iaitu UniKL (RM500,000) dan Pelaburan Mara Berhad (RM200,000) kerana tidak cukup bukti.

“Ia amat memeranjatkan dan menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat.

“Pihak SPRM atau Peguam Negara tidak boleh dengan mudah menutup siasatan skandal ini.

“Jika benar tidak cukup bukti untuk mendakwa, seharusnya Peguam Negara mengarahkan pihak SPRM untuk membuat siasatan lanjut.
“Pihak SPRM perlulah bertindak dengan lebih efisyen dan dedikasi agar duit rakyat tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu dengan membelakangkan kepentingan rakyat terbanyak,” ujarnya.