Malaysia Dateline

Audio ‘scheme of thing’ benar atau palsu: SPRM diminta tunai janji

Umno menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunaikan janji mereka untuk mengesahkan apakah audio ‘scheme of thing’ yang dikatakan suara Tan Sri Muhyiddin Yassin itu benar atau palsu.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MPKT) Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, ini berikutan janji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mahu mengesahkan perkara tersebut.

“Datuk Azam Baki kata, SPRM akan siasat dua perkara. Pertama keaslian rakaman dan kedua apakah yang dijanjikan itu satu kesalahan,” kata Puad dalam kenyataan beliau.

Kini, dengan datangnya isu audio baru yang dikatakan perbualan telefon antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan siasatan SPRM terhadap audio sebelum ini perlu dimaklumkan.

“Sudah hampir setahun rakyat menunggu penjelasan SPRM dan PDRM mengenainya.

“Kenapa terlalu lama. Jangan senyap begitu sahaja,” kata Puad yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN sebelum ini.

Menurut Puad, rakyat masih tertanya tanya ketulenan audio rakaman Perdana Menteri yang sudah lama viral.

Kata, Facebook dari kumpulan pro Tun Dr Mahathir antara yang paling awal memuat naik satu rakaman mirip suara PM sekarang itu.

Rakaman itu katanya dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23.2.2020 sebelum kejatuhan kerajaan PH.

Pada 23.7.2020, kata Puad, SPRM telah menghantar laporan awal kepada Peguam Negara.

Rakaman audio mirip suara PM itu telah menjanjikan jawatan untuk mereka yang menyertai Bersatu.

Jawatan yang disebut ialah Menteri atau jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dalam rakaman itu, suara mirip PM berkata, “Dan kita bagi jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC.”

Ekoran itu, kata Puad, cara melantik menteri-menteri dari Umno memang menimbulkan kontroversi.

“Ia sama sekali tidak dibincang dan tidak mengikut hiraki parti Umno. Maka perlantikan itu dilihat ada muslihat politik,” katanya.

Hingga ke hari ini, kata bekas timbalan menteri itu, terdapat seorang dua kluster menteri bertindak macam jurucakap Bersatu bukan lagi mewakili pemimpin Umno.