Hanya Sultan Johor sahajakah yang cuba dirasuah? soal Salahuddin pada SPRM

Hanya Sultan Johor sahajakah yang cuba dirasuah? soal Salahuddin pada SPRM

 

 

 

 

 

 

 

Parti Amanah Negara (Amanah) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sama ada wujud aduan selain istana Johor berhubung peranan orang tengah untuk mendapatkan darjah kebesaran.

Salahuddin Ayub Parti Amanah Negara (Amanah) mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sama ada wujud aduan selain istana Johor berhubung peranan orang tengah untuk mendapatkan darjah kebesaran.

Pendedahan ini penting ekoran individu yang dipercayai cuba merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sudah menyerah diri semalam selepas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengeluarkan amaran.

“Seorang individu telah pun menyerah diri setelah pihak SPRM meminta berbuat demikian dalam tempoh 48 jam.

“Saya mengucapkan syabas kepada SPRM yang bertindak tegas dan pantas dalam menangani isu ini bagi memastikan integriti dapat ditegakkan dalam memelihara instituisi Raja-raja Melayu di negara ini,” ujar Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dalam kenyataannya hari ini.

Pada 22 Mac, Sultan Ibrahim mendedahkan beberapa orang tengah datang berjumpanya dan mahu memberikan RM2 juta kepadanya bagi memperoleh gelaran “Tan Sri” daripada kuota baginda.

Sultan Ibrahim juga menyebut bahawa lebih mudah memperoleh gelaran ‘Tan Sri’ daripada persekutuan kerana tahun lepas sahaja, 62 orang menerima gelaran itu dalam temubual eksklusif  dengan kumpulan Media Prima di Istana Flintstone, Mersing.

Pada 24 Mac lalu, Azam dalam satu kenyataan berkata SPRM tidak akan berdiam diri dan akan melakukan siasatan terhadap pendedahan Sultan Ibrahim mengenai ejen yang menjual pangkat dan darjah kebesaran di Johor.

 Pada 27 Mac,Sultan Ibrahim menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dan beberapa pegawai kanan SPRM berhubung maklumat individu yang terbabit berkaitan rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran berkenaan.

Namun Salahuddin mengajukan pertanyaan kepada Dzulkifli sama ada SPRM menerima aduan sama selain daripada apa yang didedahkan Sultan Ibrahim.

“Walaubagaimanapun, maafkan saya sekadar bertanya kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, tidak adakah aduan yang sama terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba merasuah Raja-raja Melayu yang lain termasuk Tuan-tuan Yang Terutama untuk mendapatkan gelaran darjah kebesaran?” soalnya.

Suspek  bergelar “Tan Sri” yang menyerah diri semalam ditahan reman selama 5 hari sehingga 4 April  bagi membantu siasatan dan pendakwaan.

TAGS