Malaysia Dateline

SPRM harus kekal bermaruah dan berintegriti

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mengekalkan prinsip bermaruah dan berintegriti tanpa ada mana-mana pihak yang boleh mencemar dan mempengaruhi organisasi ini terutamanya dalam isu membabitkan rasuah dan salah guna kuasa politikus dalam negara ini.

Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Fariz Musa dalam kenyataan beliau berkata, SPRM wajib mengambil tindakan tegas dan segera terhadap jenayah dan salah laku pemimpin politik dalam kerajaan PN sepertimana yang diakui sendiri oleh mereka yang terlibat.

“Isu campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sepertimana yang hangat diperkatakan oleh rakyat yang turut merasa bimbang sekiranya benar wujud ‘budak’ yang akan mengikut telunjuk beliau seperti ‘seekor lembu yang hidungnya diikat tali’ dalam hal-ehwal PDRM adalah sesuatu yang serius.

“Kebimbangan ini telah pun dizahirkan oleh mantan Ketua Polis Negara(KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador sebelum ini apabila kegilaan mabuk kuasa oleh seorang menteri kabinet PN untuk mempengaruhi salah satu agensi penguatkuasa yang seharusnya adil dan bebas serta berintegriti yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun.

“Malahan tidak pernah berlaku sebelum ini jawatan nombor satu PDRM diragui dan dipertikaikan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.Sejajar dengan itu Jingga 13 Malaysia menggesa SPRM supaya segera menyiasat dan bertindak tanpa membezakan ideologi politik mana-mana pihak, “tegasnya lagi.

Ia juga berkata, pelantikan KPN dan Pegawai Tinggi PDRM sekiranya ditentukan oleh menteri dan bukannya berdasarkan kemampuan, kebolehan dan kesuaian (merit), adalah ditakuti akan merosakkan institusi kepolisian negara.

Oleh kerana itu gesa Fariz, SPRM yang diterajui oleh Datuk Seri Azam Baki harus buktikan bahawa organisasi tersebut berintegriti dan bermaruah serta selamat daripada campurtangan orang politik dalam kerajaan PN.