SPRM jangan tunggu PRU14, bertindak sekarang

SPRM jangan tunggu PRU14, bertindak sekarang

Salahuddin Ayub

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub menasihati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bertindak segera membanteras rasuah dalam pelbagai peringkat lapisan masyarakat.

Beliau berkata usaha ini akan mengukuhkan kembali keyakinan rakyat terhadap SPRM dan pentas demokrasi di Malaysia akan lebih matang.

“Tindakan bagi menyekat amalan rasuah sewajarnya tidak boleh dilengahkan. Ini kerana dikhuatiri ia akan terus bernanah dalam masyarakat kita. Kes berprofil tinggi misalnya perlu ditangani dengan lebih proaktif.

“Padah jika sebaliknya ini, hari ini telah menyebabkan masyarakat tempatan dan dunia memberikan persepsi yang buruk kepada kita seperti contohnya dalam Skandal Rasuah terbesar 1MDB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia, bahawa tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli politik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana tidak mahu dijadikan alat atau modal kempen oleh parti-parti politik lain.

Dzulkifli juga menyatakan bahawa walaupun tindakan diambil terhadap ahli-ahli politik berkenaan, ia tidak akan menghalang mereka daripada bertanding atau memegang jawatan politik.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata tindakan SPRM perlulah adil dan saksama kepada semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

“Selebihnya biar rakyat menilai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyokong saranan Dzulkifli agar semua parti politik memastikan setiap calon pilihan raya yang dipilih bersih daripada sebarang jenayah rasuah dan salahguna kuasa.

“Amanah memberi komitmen untuk sedia bekerjasama dengan SPRM dalam memastikan perkara tersebut,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)