SPRM Johor digesa siasat isu pembalakan di hutan simpan Lenggur Mersing

SPRM Johor digesa siasat isu pembalakan di hutan simpan Lenggur Mersing
Khairuddin A Rahim ketika menunjukkan senarai laporan yang dibuat ke SPRM Johor

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang  Khairuddin A Rahim menggesa Suruhanjaya  Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  melakukan siasatan ke atas penyelewengan balak yang merugikan kerajaan negeri Johor.

Beliau yang membuaat aduan  di  pejabat SPRM Negeri Johor, berkata, laporan itu merujuk  kepada pendedahan kes pembalakkan di ‘compartment 148B’ Hutan Simpan Lenggur Mersing yang dipercayai terdapat kecurigaan mengenai tanah pembalakkan tersebut.

“Antara kecurigaan pihak kami adalah berkenaan dengan rekod pengeluaran kayu disyaki dikecilkan jumlahnya kurang dari jumlah meter padu kayu yang dibayar premium.

“Kekurangan meter padu ini disyaki digunakan untuk mendapat kawasan ganti rugi tanpa membayar sebarang premium. Selain itu pokok kayu tidak bertanda yang masih kecil disyaki secara tidak sah dan dikeluarkan dengan tidak membayar cukai.

“Juga turut disahkan, penanaman semula tidak dilakukan dengan sempurna. Selain itu pengeluaran kayu-kayu disyaki secara gelap tanpa membayar cukai kepada kerajaan (cukai tebang),” ujarnya dalam sidang media diadakan pada Selasa..

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyatakan tindakan yang berlaku ke atas hutan-hutan tersebut boleh mendatangkan kerugian kerajaan, rakyat dan alam sekitar.

Katanya  sebelum ini terdapat laporan terhadap SPRM yang dilaporkan oleh orang ramai namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap tanah tersebut.

“Titah ucapan Tuanku Sultan Johor dalam Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor yang ke14 telah menyentuh soal peri pentingnya alam sekitar, sumber air dan hutan.

“Tindakan saya hari ini adalah untuk menjunjung titah Tuanku Sultan Johor dalam memelihara dan memulihara alam sekitar,sumber air dan hutan di seluruh negeri ini.

“Saya akan membawa perkara ini ke peringkat seterusnya untuk berbincang dengan kerajaan negeri bagi mereka mengadakan tindakan pencegahan terhadap hutan tersebut,” ujarnya lagi.

Sebelum ini pada 24 April yang lalu, portal Malaysia Dateline telah menyiarkan berita berkenaan dengan isu pembalakkan di negeri Johor.