Malaysia Dateline

SPRM keluar notis merah Interpol untuk tangkap Jho Low, dua warga asing

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan Notis Merah kepada Interpol susulan waran tangkap terhadap tiga individu termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa tanpa kehadirannya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya.

Dua lagi individu berkenaan ialah warga Britain, Andrew Marc Mahony dan warga Arab Saudi, Tarik Essam Ahmad Obaid.

“SPRM telah menghantar Notis Merah kepada Interpol, supaya mereka dibawa balik dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasa Wanita bagi Memerangi Rasuah, semalam.

Menurut Latheefa, mereka didakwa tanpa kehadiran di Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin, terhadap jenayah konspirasi membantu aktiviti pengubahan wang haram AS$69 juta.

SPRM memfailkan permohonan waran tangkap di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam dan permohonan itu didaftarkan di hadapan Majistret S.Mageswary.

Menerusi permohonan itu, SPRM turut memfailkan pertuduhan terhadap Jho Low, Tarek Obaid dan Patrick Mahony menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan Akta SPRM 2009, bagi tujuan mendapatkan waran tangkap terhadap mereka.

Menurut pendakwaan itu, Low Taek Jho, Tarek Obaid dan Patrick Mahony didakwa secara bersama-sama bersubahat terlibat dalam konspirasi jenayah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan kedudukannya mendapatkan balasan rasuah pada 24 Feb, 2011 dan 14 Jun, 2011.

Latheefa berkata SPRM mendakwa ketiga-tiga mereka kerana mereka mempunyai maklumat mengenai wang berkenaan.

Katanya, ia sebahagian daripada proses pemulihan dan siasatan SPRM berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC international.

Menurutnya, undang-undang SPRM mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu bukan warganegara Malaysia jika ada sebarang perlakuan rasuah berlaku di Malaysia.

SPRM juga boleh mendakwa warga negara Malaysia dan penduduk tetapnya walaupun perlakuan rasuah itu berlaku di luar negara, jelas beliau.

— BERNAMA