Malaysia Dateline

Logo SPRM 3

SPRM kemuka rayuan kes lucut hak RM194 juta, wang Umno, MCA

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung pelucutan hak wang yang didakwa berkait dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Umno.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu yang menolak saman kerajaan untuk melucut hak wang berjumlah RM194 juta.

SPRM berkata, permohonan rayuan akan difailkan oleh pihak pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara terhadap empat entiti iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Wanita MCA, Binsabi Sdn. Bhd. dan Perano Sdn. Bhd.

“Permohonan rayuan terhadap empat entiti tersebut akan difailkan oleh pihak pendakwaan daripada Jabatan Peguam Negara.

“Tempoh rayuan yang diberikan adalah dua minggu daripada tarikh keputusan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan wang RM194 juta telah diterima oleh Umno daripada bekas Presiden parti itu Najib Razak.

Pihak pendakwaan juga dikatakan tidak mempunyai bukti untuk mengesahkan yang wang tersebut daripada aktiviti kegiatan haram.

Semasa prosiding berkenaan, Mohamed Zaini juga menolak saman Putrajaya untuk melucutkan dana yang didakwa berkaitan 1MDB, telah diterima oleh Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.