SPRM kongsi pengalaman usaha dapatkan semula aset 1MDB di Bangkok

SPRM kongsi pengalaman usaha dapatkan semula aset 1MDB di Bangkok

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi pengalamannya dalam siasatan dan mendapatkan semula aset dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MBD) di “The Regional Workshop on Denying Safe Haven to Corrupt Officials and Stolen Assets” di Bangkok.

Ia diadakan bersempena 15th Principal’s Meeting of the Southeast Asia Parties Against Corruption (SEA-PAC).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya membentangkan strategi mendapatkan semula aset oleh SPRM dalam kes 1MDB pada sesi panel “Denying Safe Haven to stolen Assets” pada Selasa.

“Kami membentangkan pengalaman kami. Kami menghadapi isu transnasional dan rentas sempadan apabila aset berada di banyak negara dan bagaimana mengadakan kerjasama dengan negara-negara lain untuk membawa pulang wang 1MDB,” kata beliau kepada Bernama pada Khamis.

Latheefa berkata tiga isu telah dibincangkan dan dipersetujui semasa mesyuarat iaitu kerjasama liabiliti, usaha mendapatkan semula aset dan “tiada laluan selamat untuk pelaku rasuah”.

“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha mengetatkan prosedur, hubungan dan rangkaian antara negara,” kata beliau.

Menerusi laman Twitter hari ini, SPRM berkata, “Perbincangan berfokus kepada kerjasama antara sempadan – supaya pelaku rasuah tidak jadikan negara jiran sebagai tempat bersembunyi selamat dan bantu pulangkan harta yang dibolot”.

Dalam satu lagi posting di Twitter, SPRM berkata “turut dibincangkan agar SEA-PAC juga bersama memperkasakan budaya pematuhan sistem anti-rasuah di kalangan bisnes ASEAN”.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, SEA-PAC berkata Regional Workshop on Denying Safe Haven to Corrupt Officials and Stolen Assets bertujuan antara lain menggalakkan kerjasama antarabangsa serta komitmen dari ASEAN untuk membincangkan cabaran, amalan terbaik dan penyelesaian yang mungkin.

Menurut kenyataan, percubaan pegawai rasuah untuk lari melalui rentas sempadan dan aset haram mereka menjadi cabaran dalam penyiasatan dan pendakwaan terhadap kes-kes rasuah di seluruh dunia dan memberi kesan buruk terhadap proses penguatkuasaan undang-undang, kestabilan sistem keadilan jenayah dan usaha kolektif  semua negara yang terlibat.

“Pesalah yang melakukan amalan rasuah melarikan diri ke luar negara bersama aset yang dicuri untuk mengelakkan pendakwaan dan/atau hukuman yang dikenakan. Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang sering mendapati diri mereka dalam kesukaran dan terbatas untuk menjejaki pelaku di luar negara

“Masa adalah penting, walaupun sedikit kelewatan dalam menyalurkan maklumat perisikan membolehkan pelaku melarikan diri dan operasi gagal dan pembaziran sumber manusia dan kewangan. Oleh itu, amatlah penting kerajaan menyedari cabaran sedemikian dan bersatu menangani ancaman ini,” katanya.

Mesyuarat itu juga merangkumi bengkel dan lawatan sambil belajar “Promoting Anti-Bribery Compliance Culture among ASEAN Businesses”

SEA-PAC berkata bengkel itu bertujuan untuk menyokong agensi-agensi anti rasuah ASEAN dalam mengenal pasti saluran bagi keterlibatan lebih lanjut dengan pihak berkepentingan swasta dan awam yang relevan untuk menggalakkan persekitaran perniagaan bebas rasuah dalam ASEAN.

Ia juga bertujuan untuk menimba pandangan dan pengalaman praktis dari panel pakar serantau dalam bidang pencegahan rasuah dan pematuhan etika.

— BERNAMA