Malaysia Dateline

SPRM lantik Pengarah Bahagian Siasatan dan Pengarah Bahagian Perisikan baharu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengumumkan pelantikan Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya sebagai Pengarah Bahagian Siasatan yang baharu berkuat kuasa 24 Disember lalu.

Menurut kenyataan SPRM, Ahmad Khusairi, 52, menggantikan Datuk Seri Simi Abdul Ghani, 60, yang bersara wajib pada tarikh sama setelah berkhidmat selama 36 tahun bersama Badan Pencegah Rasuah (BPR) / SPRM bermula sebagai Pegawai Siasatan pada 1983.

“Ahmad Khusairi yang memulakan kerjaya sebagai Pegawai Siasatan pada 1992 sebelum ini, pernah memegang jawatan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan serta Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sementara itu, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Datuk Abd Aziz Aban, 55, pula dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perisikan bagi menggantikan Ahmad Khusairi berkuat kuasa tarikh sama.

“Beliau (Abd Aziz) sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pengarah SPRM Kelantan dan Pengarah SPRM Pulau Pinang,” kata kenyataan itu.