SPRM menyahbeku dua akaun saham milik Arul Kanda

SPRM menyahbeku dua akaun saham milik Arul Kanda

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyahbeku dua akaun saham Central Depository System (CDS) milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Developement Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Arul Kanda ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, hari ini.

Sivananthan berkata, dua akaun saham milik anak guamnya dinyahbekukan oleh SPRM semalam.

“Sehubungan itu, permohonan anak guam saya bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk menyahbeku dua akaun itu ditarik balik.

“Permohonan difailkan dua hari lepas (Isnin) dan SPRM bagaimanapun telah menyahbeku dua akaun itu semalam,” kata beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed tidak membantah terhadap penarikan permohonan itu dan Hakim Mohamed Zaini membatalkan permohonan berkenaan.

Arul Kanda dalam permohonannya untuk menyahbeku akaun itu berkata, pembekuan akaun yang dikeluarkan responden (SPRM) mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 adalah tidak sah.

Beliau memohon antara lain, akaun CDS individu dan perdagangan dengan saham masing-masing berjumlah 700,000 nexgram dan 18,000,500 nexgram dilepaskan segera.

Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu, Sivananthan berkata, sejumlah sembilan akaun milik Arul Kanda telah dibekukan oleh SPRM selepas dia dikaitkan dengan kes pengubahan haram dana 1MDB.

“Kesemua sembilan akaun itu melibatkan tujuh akaun peribadi dan dua akaun CDS. Tiada pendakwaan atau tindakan merampas dilakukan sepanjang tempoh pembekuan akaun itu, oleh sebab itu kami memutuskan untuk memfailkan permohonan pada Isnin.

“Bagaimanapun, semalam, kedua-dua akaun itu telah dinyahbeku oleh SPRM, jadi pagi ini permohonan itu telah menjadi akademik,” kata beliau.

Pada 12 Dis 2018, Arul Kanda didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib, 66, yang menggunakan jawatannya sebagai pegawai awam iaitu Perdana Menteri Malaysia untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kesalahan itu dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Feb dan 26 Feb 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 23(1) dan Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes Arul Kanda dan Najib akan dibicarakan bersama dan ditetapkan untuk perbicaraan bermula 18 Nov 2019.

— BERNAMA