SPRM mulakan siasatan kes pembelian rumah Guan Eng, kata Exco

SPRM mulakan siasatan kes pembelian rumah Guan Eng, kata Exco

Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berkunjung ke pejabat kerajaan negeri Pulau Pinang di Georgetown bagi menyiasat kes pembelian rumah Ketua Menteri dan penjualan tanah di Taman Manggis.

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow, berkata beliau yang telah dimaklumkan tentang hal itu yakin semua pegawai kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan serta menyiapkan siasatan dengan segera.

“DAP Negeri Pulau Pinang menyokong segala tindakan yang diambil oleh YAB Ketua Menteri demi membantu SPRM dalam siasatan supaya dapat menegakkan prinsip urus tadbir bersih yang selama ini menjadi tunjang pemerintahan di negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang meminta ahli-ahli parti dan penyokong supaya sabar dan tabah menghadapi cabaran terbaru itu yang merupakan satu lagi usaha untuk mencemar nama baik Ketua Menteri Lim Guan Eng dan kerajaan negeri.

Semalam, pemilik asal rumah Phang Li Koon dalam surat akuan bersumpahnya mengaku menjual rumah kepada Guan Eng dan keluarga setelah mereka menyewa rumah itu selama enam tahun.

Penjualan itu, kata Phang dibuat tanpa sebarang tekanan, paksaan atau pengaruh dan dibuat atas dasar kerelaan bersama pembeli dan penjual.

Phang juga mengaku tidak mahu lagi memiliki rumah tersebut selepas ia menjadi sasaran serangan bom petrol (molotov cocktail) dan juga “upacara pengebumian” oleh kumpulan-kumpulan yang anti-Ketua Menteri.

TAGS