SPRM-Najib : Apa yang sukar nak umum nama dan negara asal penderma? soal Mahfuz

SPRM-Najib : Apa yang sukar nak umum nama dan negara asal penderma? soal Mahfuz

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu ‘derma’ sebanyak RM2.6 bilion membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat terus menimbulkan lebih banyak tanda tanya berangkai.

Terbaharu, SPRM mengesahkan pasukannya telah dihantar ke Timur Tengah baru-baru ini untuk bertemu dengan penderma dana tersebut tanpa mendedahkan perincian termasuk identiti penderma kerana mendakwa masih dalam proses siasatan telah menimbulkan persoalan.

 Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar  menyenaraikan sekurang-kurangnya tujuh soalan yang perlu dijelaskan dalam siasatan SPRM antaranya berkaitan motif sumbangan derma tersebut melalui akaun peribadi Najib.

“Kenapa tidak diumum siapa penderma tersebut? Apa yang sukar untuk SPRM dan Najib mengumumkan nama dan negara asal penderma tersebut?

“Datuk Zahid TPM (Timbalan Perdana Menteri) pun dalam penjelasan di Parlimen selama tiga minit tidak pun menyebut nama penderma RM2.6 bilion tersebut. Jadi, dari mana rakyat boleh dapat tahu dan bila rakyat nak diberitahu?” soalnya bertubi-tubi dalam kenyataan beliau hari ini.

Menurut pemimpin PAS itu, perkara paling penting bukan sahaja butiran tentang penderma perlu diberitahu tetapi pembabitan Najib sebagai penerima dengan jumlah ‘derma’ yang amat besar.

“Jika wang tersebut untuk Umno atau negara, kenapa dimasukkan ke dalam akaun peribadi? Ke mana wang tersebut diguna dan dibelanjakan oleh Najib selepas dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau?

“Berapa jumlah yang dibelanjakan dan berapa baki wang tersebut? Adakah baki wang tersebut masih berada dalam negara dan di dalam akaun siapa dan di dalam bank mana baki tersebut? Ini semua mesti dijawab oleh SPRM yang menjalankan siasatan,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut peranan sebenar SPRM dalam menyiasat skandal derma berkenaan, Mahfuz menggesa supaya suruhanjaya itu tidak bertindak untuk melindungi ketika rakyat mulai bersimpati, menghormati dan mempercayai SPRM.

TAGS