SPRM, PDRM  digesa siasat kegiatan jual beli Darjah Kebesaran DiRaja

SPRM, PDRM digesa siasat kegiatan jual beli Darjah Kebesaran DiRaja

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa untuk melakukan siasatan segera di atas pengakuan dan pendedahan Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai wujudnya agen jual beli  Darjah Kebesaran di negara ini.

Datuk Mahfuz Omar

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa untuk melakukan siasatan segera di atas pengakuan dan pendedahan Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai wujudnya agen jual beli  Darjah Kebesaran  di negara  ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, kegiatan agen atau orang tengah untuk membantu mendapatkan darjah kebesaran bergelar Tan Sri perlu dibanteras bagi menjaga nama baik institusi Kesultanan dan Raja-Raja Melayu.

“Pendedahan Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tentang adanya “ejen-ejen penipu” menawarkan gelaran kebesaran hingga ada yang datang untuk menyogok Tuanku sebanyak RM2 juta* bagi membantu mendapatkan pingat darjah ‘Tan Sri’ perlu dipandang serius oleh semua pihak.

“Pendedahan baginda memberikan gambaran tentang wujudnya sendiket jual beli pingat Darjah Kebesaran di semua negeri seperti yang saya bangkitkan dalam perbahasan Titah DiRaja di Parlimen pada Isnin 13 Mac 2017 lalu,” ujarnya.

Tambah Mahfuz lagi, kebimbangan beliau apabila mutakhir ini berlaku penangkapan terhadap ketua dan anggota kongsi gelap yang bergelar ‘Datuk’ oleh pihak polis mungkin ada kaitannya dengan kegiatan orang tengah.

“Penglibatan mereka yang bergelar Datuk dalam kumpulan kongsi gelap memberi gambaran bahawa mereka ini memperolehi anugerah tersebut dengan tidak melalui proses tapisan sebaliknya melalui sindiket yang mungkin mempunyai hubungan ‘mesra’ dengan pihak yang tertentu.

“Kegiatan ejen-ejen sindiket penganugerahan Darjah Kebesaran ini telah mencalar dan memburukkan institusi Kesultanan dan Raja-Raja Melayu,” ujarnya.

Pada Rabu lalu dalam satu temubual khas diadakan dengan Sultan Ibrahim, baginda mendedahkan beberapa orang tengah datang berjumpanya dan mahu memberikan RM2 juta kepadanya bagi memperoleh gelaran “Tan Sri” daripada kuota baginda.

Sultan Ibrahim juga menyebut bahawa lebih mudah memperoleh gelaran ‘Tan Sri’ daripada persekutuan kerana tahun lepas sahaja, 62 orang menerima gelaran itu.

TAGS