Malaysia Dateline

SPRM, PDRM harus tentukan kategori tertuduh perlu pakai baju lokap

Sudah sampai masanya untuk agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membincangkan dasar mereka dalam menentukan kategori tertuduh yang perlu memakai baju lokap berwarna jingga dan ungu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, Ini bagi mengelakkan wujudnya amalan pilih kasih apabila ada sesetengah tertuduh dipakaikan baju lokap, tetapi ada juga yang dibiarkan menggunakan pakaian mereka sendiri.

Menurutnya, teguran Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Rais Yatim yang mahu SPRM menangani isu layanan pilih kasih dalam pemakaian baju lokap, perlu diambil perhatian.

“Ada beberapa kes melibatkan VIP dan individu bergelar Datuk, mereka hampir tidak digari dan tidak memakai pakaian tahanan polis apabila dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman atau tuduhan jenayah.

“Sudah tiba masanya untuk kedua-dua SPRM dan PDRM membincangkan dan menggubal dasar mereka untuk menentukan kategori suspek yang dikehendaki menggunakan pakaian lokap dan digari.

“Jika ada alasan mengapa mereka tidak diwajibkan memakai pakaian lokap semasa berada di tahanan SPRM atau pihak polis, ia perlu didedahkan kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Rais sebagai ahli JKJMR berkata, setiap individu yang menghadapi pertuduhan harus diberi layanan sama rata.

Katanya, ketika ini ada pihak yang menggunakan pakaian berwarna oren dan ada pula yang tidak menggunakan baju lokap berkenaan apabila hendak dibawa ke mahkamah.

“Ada pakai kot dengan tali lehernya sendiri. Seolah masuk untuk bermesyuarat, kami zahirkan pandangan, jika baju oren itu atas apapun alasan diguna, biar lah semua kena. Tidak dipilih antara satu pihak dan pihak lain,” katanya.

Justeru menurut Lim, setiap tertuduh mesti diberi layanan yang sama apabila mereka dihadapkan di mahkamah untuk didakwa.