SPRM perlu buktikan reputasi bertaraf global, bukan bangunan gah

SPRM perlu buktikan reputasi bertaraf global, bukan bangunan gah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjadi agensi anti-rasuah bertaraf antarabangsa tanpa memerlukan bangunan yang gah.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, SPRM tidak perlu bangunan ibu pejabat yang begitu mahal, berlebih-lebihan dan besar untuk memberikan perkhidmatan bertaraf global.

“Apa yang penting adalah SPRM mempunyai ibu pejabat yang sederhana namun memiliki reputasi global yang mantap sebagai agensi anti-rasuah bertaraf antarabangsa dalam memerangi rasuah tanpa rasa takut dan pilih kasih, tidak kira melibatkan ‘jerung’, ‘harimau’, atau ‘buaya’,” katanya.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sewaktu merasmikan kompleks itu di Putrajaya Ahad lalu, yang merupakan mercu tanda baharu Putrajaya.

Najib dalam ucapannya mendakwa bahawa bangunan berkenaan adalah kompleks agensi anti-rasuah terbesar di dunia.

Beliau berkata pembinaan komplkes baharu itu manifestasi kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Dengan perasmian bangunan SPRM berkenaan, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, ia bukanlah pencapaian pertama Malaysia di peringkat global.

Ini kerana, katanya, ada pencapaian lain yang ‘diraih’ lebih awal oleh negara di peringkat antarabangsa.

“Ia (bangunan baru SPRM) bukannya ‘pertama’, kerana Malaysia mencapai ‘pengiktirafan’ pertamanya apabila menjadi ‘kleptokrasi global’ di bawah pemerintahan Najib,” ujar Kit Siang secara sinis.

Dalam pada itu, Kit Siang turut menyarankan agar SPRM memulangkan semula sumbangan RM5 juta yang diberikan Najib Razak kepada Yayasan Prihatin SPRM ekoran wujud percanggahan kepentingan.

“Integriti, kebebasan dan profesionalisme SPRM dan pegawainya harus tetap dipertahankan dan tidak harus dikompromi dalam apa jua keadaan,” tegasnya.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS