SPRM perlu siasat dakwaan pemimpin BN, organisasi terima dana 1MBD

SPRM perlu siasat dakwaan pemimpin BN, organisasi terima dana 1MBD

Azmi Alang

Seharusnya dakwaan pimpinan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain komponen BN serta mana-mana organisasi yang telah disenaraikan sebagai penerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) harus disiasat segera, kata Timbalan Ketua Bahagian Bersatu, Tasek Gelugor, Azmi Alang.

Jelas beliau lagi, sebelum ini pendedahan demi pendedahan telah pun dibuat mengenai penerima dana 1MDB.

Namun begitu sehingga kini ujarnya, hanya pimpinan Umno sahaja dilihat berjaya disiasat oleh SPRM.

“Rakyat telah tahu sebanyak RM417.4 juta telah diterima oleh Umno, manakala MIC pula telah menerima sebanyak RM20.55 juta.

“Sementara itu MCA pula didakwa menerima sejumlah RM16.5 juta.

“Dalam pada itu wang dari dana tersebut dilaporkan diagihkan kepada parti-parti tersebut serta komponen BN melalui bahagian dan sayap mereka, ” ujarnya ketika ditemui.

Malah katanya lagi, dakwaan wang tersebut telah diseleweng dari dana 1MDB harus segera disiasat oleh SPRM.

“Kita mahu SPRM siasat kesemua parti yang terlibat termasuk MCA, MIC serta juga Gerakan dan lain-lain komponen BN yang didakwa turut menerima dana tersebut.

“Jika pimpinan Umno telah berjaya disiasat dan diheret ke muka pengadilan, rakyat juga ingin tahu apakah pimpinan parti lain yang turut menerima dana 1MDB dibiarkan bebas tanpa disiasat.

“Maka itu siasatan harus dilakukan terhadap kesemua pihak yang didakwa menerima dana 1MDB dengan segera agar tidak timbul persepsi negatif, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, SPRM tidak boleh membiarkan walaupun seorang dari komponen BN terlepas setelah wang yang sepatutnya dipulangkan kepada rakyat telah diselewengkan.

Baru-baru ini penasihat DAP, Lim Kit Siang turut membuat gesaan supaya komponen BN yang telah menerima dana 1MDB supaya dapat diserahkan kembali kepada rakyat.