Malaysia Dateline

SPRM pertahan tindakan keluarkan kompaun berhubung isu 1MDB

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mempertahankan tindakan mereka yang mengeluarkan kompaun terhadap individu serta entiti untuk memulangkan semula dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya, berkata, SPRM akan melawan mereka yang memfailkan semakan kehakiman terhadap SPRM yang mencabar untuk menarik semula notis kompaun yang dikeluarkan.

“Tentang isu kompaun, apabila individu tak buat bayaran denda selepas kita beri dia peluang melunaskannya, kita terpaksa ambil tindakan.

“Sementara kita menyelesaikan isu pengeluaran notis tersebut, hak kita untuk mengeluarkan kompaun telah dicabar. Semestinya kita perlu lawan semula, dan semua itu sedang berada di ‘leave stage’ di pejabat peguam negara.

“Boleh ke kamu cabar orang yang mengeluarkan notis tersebut? Saya tak terfikir boleh buat begitu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Teater Semarak Pertiwiku di Istana Budaya hari ini.

Terdahulu, Puteri Umno dan dua pemimpin kanan parti itu memohon untuk membatalkan notis kompaun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka kerana didakwa menerima RM10juta dana 1MDB melalui akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Setiausaha Eksekutif Umno, Mohd Sumali Reduan, Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan dan ketua bahagian Umno Johor Bahru, Shahrir Abdul Samad memfailkan permohonan semakan kehakiman berasingan melalui firma guaman Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, di pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, masing-masing pada 28 Nov, 3 Dis dan 27 Nov tahun lepas.

Pada sidang akhbar 7 Okt lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata badan anti-rasuah itu mengeluarkan notis kompaun kepada 80 individu dan entiti untuk mendapatkan semula lebih RM420 juta wang 1MDB yang didakwa diterima mereka.

Antara nama yang disenaraikan sebagai penerima dana 1MDB termasuk bekas Pengerusi Kumpulan CIMB Nazir Razak, yang juga adik kepada Najib; Anggota Parlimen Pontian, Ahmad Maslan; bekas Ketua bahagian Umno dan bekas pembantu kepada Najib, Mohamad Fatmi Che Salleh; dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad.